Wednesday, March 3, 2010

Honda Freed masuki Malaysia suku kedua 2010









DALAM usaha memenuhi keperluan keluarga golongan muda yang mementingkan gaya, Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) bakal melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak premium terbaru pada suku kedua tahun ini. Model terbaru itu, Freed memiliki ‘wajah’ tersendiri dan berbeza daripada kenderaan kompak MPV lain di pasaran ketika ini.

Bagi menyerlahkan lagi keunikannya, Freed turut dilengkapi keistimewaan tersendiri seperti pintu luncur automatik serta laluan datar di bahagian tempat duduk penumpang.

Freed diimport sepenuhnya dari Honda Prospect Motor, Jakarta, Indonesia dan direka bagi memenuhi cita rasa pengguna yang digabungkan dua elemen dilengkapi fungsi dan daya tarikan MPV untuk menjadi pilihan utama pengguna.

Pengarah Pengurus dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toru Takahashi, berkata sejak pelancaran rasminya di Jepun pada 2008, Freed mendapat sambutan hangat di rantau Asia termasuk Indonesia dan Thailand.

“Model ini ditunggu-tunggu pengguna di negara ini sejak tahun lalu. Oleh itu, kami dengan bangganya mengumumkan bahawa Honda Malaysia akan membawa Freed pada suku kedua tahun ini,” katanya.

Sejak enam bulan dilancarkan pada Mei 2008, Freed mengungguli tempat pertama penjualan mini van di Jepun dan lebih 130,000 unit sudah terjual hingga akhir Disember 2009.

No comments: