“JAGA kereta mewah ini macam jaga bayi. Tak boleh tercalar, tak boleh kotor sikit. Hendak kena selalu perhati.
“Kalau saya pergi ke restoran pun, saya akan pastikan kereta diparkir di tempat yang boleh dilihat dari tempat saya makan,” kata Mokhtar Ahmad, seorang pemilik kereta mewah di Johor Bahru kepada Jurnal saat diajak berbicara tentang keterujaan memiliki kereta mewah.
Mokhtar, 37, yang juga Pengarah Urusan Mutiara Motors Group, mempunyai 12 buah kereta mewah yang dikongsi bersama bapanya, Datuk Ahmad Kemin. Antaranya, dua buah kereta Ferrari, sebuah Lamborghini, sebuah Porsche dan Hummer.
“Apabila memandu di jalan raya, memang banyak mata yang memandang. Apabila kereta berhenti, ramai yang mengerumuni. Lebih melucukan apabila memandu kereta mewah di luar negara atau dalam negara, ada yang mengetuk tingkap kereta semata-mata untuk menunjukkan isyarat bagus.
“Risau juga, ingatkan mereka hendak mengapa-apakan saya,” ujarnya sambil memberitahu nilai keseluruhan kereta mewahnya ialah kira-kira RM10 juta.
Bukanlah niat Mokhtar untuk mendabik dada dengan kereta mewahnya. Namun, sekadar untuk kepuasan diri memiliki apa yang diidamkan. Katanya, ini soal cita rasa. Kadang-kadang sudah biasa makan nasi, ingin pula rasa spageti.
|
|
Baru-baru ini, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ibni Sultan Ismail Petra telah mengemukakan saman pemula untuk menuntut perisytiharan bahawa sebuah kereta mewah buatan Bentley dengan harga belian S$706,880 (RM1.7 juta) adalah miliknya secara mutlak.
Kenderaan berwarna biru dengan nombor pendaftaran DBG 1 itu dikatakan berada di bawah jagaan kekandanya, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.
Sebagai sebuah syarikat yang turut mengedar kereta-kereta mewah, Mokhtar menganggap individu yang memiliki kereta mewah bukanlah satu utopia di negara ini.
Mokhtar berpendapat terdapat peningkatan yang ketara terhadap trend kereta mewah di Malaysia mutakhir ini.
“Berdasarkan pemerhatian dan penjualan kereta mewah di negara ini, boleh dikatakan berlaku peningkatan sebanyak 45 peratus dari awal tahun 90-an.
“Malah Malaysia merupakan salah sebuah negara yang memiliki bilangan Ferrari yang terbanyak di dunia,” ujarnya sambil memberitahu sebanyak enam unit Ferrari berjaya dijual dalam masa setahun oleh syarikatnya.
Berasaskan trend, anak muda lebih menyukai kereta mewah yang bersifat sporty seperti Ferrari dan GTR manakala warga tua sukakan Hummer.
Mokhtar juga optimis bilangan pelanggannya akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Buktinya, di lebuh raya sendiri pasti ada sekurang-kurangnya sebuah kereta mewah di jalanan. Tidak mengira apa jua jenamanya.
Namun, kereta mewah bukanlah boleh dimiliki semua orang. Bukan sahaja kerana harganya, tetapi juga unit dikeluarkan adalah terhad.
Tidak semua syarikat insurans ingin menginsuranskan kereta mewah kerana mereka sendiri bimbang risiko kerugian.
Seseorang itu mungkin perlu memiliki pendapatan RM50,000 sebulan untuk mendapatkan kepercayaan syarikat insurans.
“Cukai import kereta sahaja sudah hampir sekali ganda harga kereta. Kalau kereta rosak, untuk alat ganti kereta sahaja mencecah angka puluhan ribu.
“Misalnya untuk menukar gear box Porsche sahaja memerlukan RM30,000. Nak servis kereta pula, bukan semua bengkel boleh melakukannya. Macam saya, hendak servis kereta Ferrari, saya perlu ke Singapura,” katanya.
Ubahsuai
Ditanya apakah yang menyebabkan sesebuah kereta mewah itu berharga tinggi, Mokhtar berkata, ia banyak disumbangkan oleh reka bentuk aerodinamik, penggunaan material bermutu tinggi seperti kulit alcantara dan karbon fiber, penerapan teknologi canggih dan suspensi enjin.
Walaupun kereta mewah cenderung meraih perhatian pencuri, namun Mokhtar berkata, pemilik kereta mewah biasanya tidak menambah ciri sekuriti yang lain melainkan mengekalkan sistem sekuriti yang telah sedia ada.
“Ini kerana, biasanya ia telah dikomputerkan. Sekiranya ada anasir pengubahsuaian, ia akan mengganggu sistem elektrik dan merosakkannya,” katanya.
Di sebalik prestij kereta mewah, Mokhtar mengingatkan pemilik kereta mewah agar sedar akan kelemahan kereta mereka bagi memastikan ia kekal dalam kondisi sebenar.
“Misalnya, kereta Ferrari tidak boleh dipandu laju ketika hujan. Banyak kecelakaan yang berlaku disebabkan hal ini. Ia kerana jenteranya beroperasi secara rearwheel.
“Lagipun, sesebuah kereta itu dicipta oleh pengeluar berasaskan cuaca di negara pengeluar. Jadi, pemilik di negara ini perlu bijak menyesuaikan penggunaannya,” katanya yang lebih banyak menggunakan kereta mewah pada sebelah petang dan malam.
Mokhtar juga berkata, kereta mewah bukan boleh dipandu selalu. Sebulan cuma dua atau tiga kali sahaja beliau memandu sebuah kereta mewah. Biasanya, ia hanya digunakan sebagai kereta hujung minggu atau untuk menghadiri majlis tertentu.
Apa yang melucukan, bukan himpunan kereta mewah yang selalu menjadi rebutan Mokhtar, ayahnya dan isterinya, selebriti Juliana Banos.
“Kami selalu berebut kereta tetapi bukan kereta mewah, sebaliknya kereta Perodua Myvi yang telah diubahsuai menjadi kereta Toyota Passo. Kami panggilnya Myvi Passo,” katanya tertawa.
Sejujurnya, seperti yang digambarkan kepada pemilik-pemilik kereta mewah, Mokhtar mengakui beliau melebihkan kereta daripada isterinya.
“Orang perempuan ini kurang menitikberatkan soal penjagaan kereta. Selalu saya ingatkan dia supaya sentiasa jaga kebersihan kereta. Ibu saya pun selalu saya ingatkan tentang itu,” katanya.
Dididik agar tidak hanyut dengan kemewahan, Mokhtar sememangnya seorang yang gemar merendah diri. Siapa sangka anak muda yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia ini hanya diberikan gaji RM150 sewaktu mula bekerja bersama bapanya.
“Bapa tidak memanjakan saya dengan kemewahan. Bapa juga selalu mengingatkan saya rezeki juga datang daripada Tuhan,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik Bentley Flying Spur empat pintu, pengacara dan pelakon AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 37, menyifatkan kereta mewah sebagai lambang kejayaan seseorang lelaki.
“Saya tidak melihatnya sebagai trend, sebaliknya ia sebagai mercu kejayaan seorang lelaki.
“Ia juga untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa menjadi artis juga mampu berjaya dan hidup mewah,” katanya yang turut memiliki Porsche Carrera, Mercedes dan BMW.
Mizal berkata, dia memilih Bentley kerana menyedari kereta itu jarang dipakai oleh golongan artis di negara ini dan kereta itu juga dipakai oleh idolanya artis antarabangsa, JayZ dan P. Diddy.
Mizal berkata, kereta Bentley itu mempunyai lambang korporat yang kuat untuk disesuaikan dengan perniagaannya AC Mizal Konsortium Sdn. Bhd yang sedang giat diusahakan.
Antara artis lain yang turut dikatakan memiliki kereta mewah ialah Norman KRU (Ferrari), Anuar Zain dan Aznil Nawawi (Porsche), serta Yusry KRU (Lamborghini).
Usahawan Azdy Aziz juga mengakui terdapat peningkatan bilangan individu yang memiliki kereta mewah dan orang Melayu juga tidak ketinggalan.
“Ia melambangkan orang Melayu bersifat daya saing dan semakin bergerak maju,” katanya yang memiliki BMW 7 Series, Mercedes dan Toyota MRS.
Bagi Azdy, kereta mewah adalah sumber inspirasi dalam melonjakkan pencapaian.
“Ia juga sebagai cara untuk kita memberikan ganjaran kepada diri sendiri atas kerja keras yang telah dilakukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment