Wednesday, March 31, 2010

Kurangkan daya tujahan angin

KENDERAAN pelbagai guna (MPV) sememang sangat praktikal sama ada bagi mereka yang memiliki ahli keluarga yang ramai atau sekadar pengangkutan hujung minggu.

TEGAP...Grand Livina Impul menawarkan reka bentuk segar.

TEGAP...Grand Livina Impul menawarkan reka bentuk segar.
Pengenalan Nissan MPV Grand Livina di pasaran memang kena pada masanya dan tidak hairanlah dengan tema 'pemanduan ibarat sedan' berjaya melonjakkan jualan model berkenaan.

Bagi melengkapkan pemanduan sedan sporty, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), selaku pengedar rasmi kenderaan Nissan tempatan turut melancarkan veris Impul yang lebih menarik dan bergaya.

Tumpuan utama pastinya rupa luaran yang menampilkan gril baru dengan tulisan Impul logo asal Nissan di tengahnya.

Tambahan aerokit Impul, Nissan Grand Livina tampak lebih terserlah dan garang termasuk pemecah angin (spoiler) belakang lebih panjang serta lebar.

Bagi menambahkan lagi kendalian jentera MPV ini, sistem suspensi sport Impul turut ditawarkan apabila Impul membekalkan set lengkap bagi menambahkan keseronokan pemanduan.

Sistem Suspensi Sport Impul ini menjadikan Grand Livina Impul 25 milimeter lebih rendah dan hasil gabungan Aerokit hadapan, ia mampu mengurangkan daya tujahan angin serta pusat graviti lebih rendah.

Peredam bunyi daripada Impul Blast II menjadi perkara terakhir yang dibekalkan Impul untuk kereta ini dan ngaumannya tidak membingitkan telinga, memadai dengan imej sporty yang dibawanya.

Tidak dinafikan penggunaan ekzos tulen berkenaan sedikit sebanyak membaiki tahap respons enjin lebih baik.

Paling menyerlah, padanan rim aloi berjejari 17 inci Impul Aura SX-10 berharga RM4,500 di mana 30 peratus lebih ringan daripada rim bersaiz sama.

Penggunaan tayar bersaiz 205 milimeter Siri 45 menjadikan jentera ini lebih stabil dan tegap ketika melalui jalan berselekoh selain dibantu sistem suspensi sport yang sedikit keras.

Walaupun tahap keselesaan berkurangan, tetapi kebaikannya pula dapat dirasai ketika melalui selekoh pada kelajuan tinggi.

Tiada rasa beroleng-oleng walaupun susuk tubuhnya lebih panjang. Bagaimanapun, hentakan pasti terasa apabila melalui jalan tidak rata dan perkara itu lumrah bagi sebuah jentera yang menggunakan suspensi sport.

Semua model Grand Livina menggunakan casis monocoque iaitu casis unibody seperti sebuah kereta yang berbeza daripada beberapa pesaingnya.

Melihat ruang dalamannya pula, bahagian kabin termasuk kerusi salutan fabrik Masumi berwarna cerah menjadikan ruang nampak lebih luas.

Ruang kokpit agak ringkas dan hanya dilengkapi dengan pemain cakera padat tunggal dan butang kawalan penyaman udara, tetapi kelihatan bergaya dengan kemasan alur kayu.

Kerusi barisan kedua boleh digerakkan ke depan dan belakang selain boleh dibaringkan bagi memperoleh ruang bagasi lebih luas.

Kerusi bahagian kedua yang senang digerakkan membolehkan penumpang barisan ketiga keluar masuk dengan mudah.

Bagaimanapun, kerusi bahagian ketiga sesuai untuk kanak-kanak atau dewasa bersaiz kecil kerana faktor bumbungnya agak rendah.

Pemanduan Grand Livina Impul memberi kepuasan sukar digambarkan dan faktor geografi kawasan perumahan penulis yang berbukit, ia tidak menjadi masalah kepada Grand Livina untuk memotong atau mendaki bukit yang tinggi.

Enjin aluminium MR18DE empat silinder DOHC 16 injap dengan sistem pemasa injap CVTC menghamburkan 123 kuasa kuda (hp) pada 5,200 rpm manakala tork juga sangat memberangsangkan iaitu pada 174 Nm pada 4,800 rpm.

Tidak terasa sebarang paksaan terhadap enjin ketika menekan pedal secara keras dan fungsi Overdrive menjadikan perjalanan lebih lancar.

Memang tidak dinafikan memandu Grand Livina seakan sama dengan sebuah kereta sedan dan paling menarik, ia mempunyai tujuh tempat duduk.

Berharga RM108,086 termasuk insurans, Grand Livina Impul mampu memberi kepuasan kepada mereka yang mahukan kenderaan dengan tujuh tempat duduk, pemanduan stabil dan paling menarik, gaya lebih sporty.

SPESIFIKASI
Nissan Grand Livina Impul 1.8L
ENJIN: MR18DE 1,798cc empat silinder 16 injap CVTC DOHC
KUASA MAKSIMUM: 123 hp pada 5,200 rpm
TORK MAKSIMUM: 174 Nm pada 4,800 rpm
TRANSMISI: Empat kelajuan automatik dengan Over Drive
CIRI KESELAMATAN: ABS, BAS, Beg udara SRS berkembar, Immobiliser
HARGA: RM108,086 termasuk insurans

TAYAR DICADANGKAN
Dunlop Direzza DZ 101
205/45 R17 84W

5 comments:

Anonymous said...

Bro,nape banyak artikel copy paste je...

Anonymous said...

Bro,nape banyak artikel copy paste je...

Anonymous said...

Bro,nape banyak artikel copy paste je...

ise said...

aku malas nak buat entri,tak sempat

ise said...

Ni blog pasal kereta,apa aja mengenai kereta masuk ni lah