Tuesday, August 18, 2009

Ikon kereta sport



EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan jentera berprestasi tinggi sport terbaru, 370Z dan Crossover premium, Murano untuk dimiliki peminat tempatan.

Kedua-duanya adalah model ikon Nissan yang direka bentuk dengan gaya, keunikan dan kontur sporty serta menggabungkan teknologi terhebat Nissan.

Model premium ini menawarkan keseronokan pemanduan, prestasi dan tahap kemewahan.Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr Ang Bon Beng, berkata Nissan 370Z adalah model ikon global kereta sport dengan lebih 1.7 juta unit terjual sejak generasi pertama, S30 diperkenalkan pada 1969.

"Model serba baru 370Z meneruskan falsafah Nissan dalam reka bentuk, prestasi dan inovasi teknikal.

"Model ini dibina dengan ciri terbaik daripada rangkaian kereta Z generasi pertama," katanya.

Peningkatan enjin adalah manifestasi terbaru siri enjin VQ Nissan dengan pengiktirafan Ward's Autoworld sebagai satu daripada 10 enjin terbaik dunia.

Enjin VQ37VHR menjana kuasa kuda 333ps dan 363Nm bagi penghantaran kuasa maksimum, daya tork terbaik di samping kecekapan bahan api.

Nadi berkenaan dilengkapi dua transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik tujuh kelajuan yang menyokong kuasa enjin secukupnya.

Sistem kawalan transmisi manual SyncroRev Match adalah pertama seumpamanya di dunia berfungsi secara automatik menyalakan pendikit (throttle) menggantikan pertukaran gear menggunakan kaki.

Sementara itu, Nissan Murano 3.5L X-CVT adalah generasi kedua model crossover premium Nissan yang menawarkan cita rasa sporty dipertingkatkan dan jaminan prestasi pemanduan lebih senyap, ruang dalaman selesa serta mewah.

Potongan reka bentuk segar Murano memaparkan elemen kekuatan dan keteguhan menggambarkan daya kesempurnaan tertinggi.

"Dengan rupa baru, peningkatan prestasi, ciri inovatif dan gaya luaran memikat hati, Murano serba baru ini adalah evolusi dalam dunia automotif.

"Murano digambarkan sebagai sebuah suite di atas roda dengan kabin pelbagai fungsi Murano serta kapasiti ruang but sehingga 838 liter," katanya.

Murano dijana enjin VQ35DE V6 dipasangkan bersama transmisi Xtronic CVT (Continuously Variable Transmission) dan D-platform.

Enjin VQ35DE mencatat kuasa output dipertingkatkan dan kecekapan bahan api sekitar 9.3km/l.

Ia menghambur 260ps kuasa maksimum dan tork setinggi 336 Nm yang membantu mengoptimumkan keseimbangan antara pengendalian baik dan kestabilan.

Sistem pemanduan semua roda 4x4-i dan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) memastikan keupayaan mengambil selekoh dengan lancar dan stabil di permukaan licin.

Nissan 370Z dijual pada harga RM354,400 (tanpa insurans) manakala Murano berharga RM318,200 (tanpa insurans) dan kedua-dua model ini didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 100,000km.

No comments: