Saturday, August 15, 2009

Bersolek dalam kereta

Untuk mempelajari jalan ke kawasan baru, Wana mengambil masa hampir sebulan kerana bukan mudah untuk orang luar hendak menghafal jalan baru.


WANA cukup teruja dapat memandu kereta buatan Malaysia.

BARU menetap di Kuala Lumpur sejak 1 Mac lalu, pendatang baru dalam dunia seni, Noriezuana Syed Shafudin atau lebih dikenali sebagai Wana semakin tekun mempelajari selok-belok jalan raya di sekitar ibu negara.

Mahu tidak mahu, wanita berusia 23 tahun itu harus memahami jalan-jalan di sekitar kota metropolitan bagi memudahkan empunya diri bergerak ke sana dan ke mari atas urusan kerja dan menjalankan aktiviti sosialnya.

Walaupun mengambil sedikit waktu dan pernah beberapa kali berdepan dengan pengalaman tersasar jalan, namun Wana terus berikhtiar untuk mengetahui keadaan lalu lintas di Kuala Lumpur tanpa mengenal jemu.


PERODUA Myvi SE dibelinya hasil titik peluh sendiri.

Bahkan, juara program realiti My Star LG musim kedua itu juga cukup bertuah apabila mendapat bantuan daripada teman-teman yang sudah terbiasa dengan persekitaran mahupun lorong-lorong di ibu negara.

"Pada mulanya saya memang gementar untuk memandu sendirian apatah lagi tidak tahu-menahu jalan raya di Kuala Lumpur yang dilihat sedikit mengelirukan.

"Terdetik juga perasaan saya untuk menggunakan perkhidmatan awam bagi menyenangkan kehidupan saya tanpa perlu memeningkan kepala.



"Lama-kelamaan, saya mula mendapat keberanian dan kekuatan untuk memandu sendiri walaupun berada di tempat orang.

"Lagipun, alang-alang saya sudah hidup berdikari di Kuala Lumpur, maka tiada salahnya kalau saya menyahut cabaran untuk membiasakan diri dengan lalu lintas di sini," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi Ini Mobilku di pekarangan pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkat kesabaran anak kelahiran Kampung Seri Paya, Johor Bahru itu, Wana kini sudah boleh menggelar dirinya 'pakar' memandu di jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur khususnya yang menuju Damansara, Bangsar dan Bukit Bintang.

"Untuk mempelajari jalan ke kawasan itu, saya mengambil masa hampir sebulan kerana bukan mudah untuk orang luar seperti saya hendak menghafal jalan baru.

"Tidak terkecuali, saya juga sudah bijak mengatur strategi untuk menghadapi lalu lintas di Kuala Lumpur terutama pada waktu puncak.

"Biasalah, kalau orang ramai hendak keluar dari pejabat, sudah tentu jalan raya akan mengalami kesesakan teruk, lebih-lebih lagi apabila hujan lebat.

"Saya mengamalkan sikap untuk tidak keluar rumah pada waktu-waktu sibuk bagi mengelakkan diri terperangkap dengan kesesakan lalu lintas.

"Kalau ada temu janji sekitar pukul 5 petang, saya akan keluar rumah dua jam lebih awal supaya tidak terlambat.

"Saya tak suka orang lain menunggu. Biarlah saya tiba ke satu-satu destinasi lebih awal," ungkap Wana yang dilahirkan pada 23 Mei 1986.


WANA kini semakin mahir selok belok jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.

Wana yang baru mengikat kontrak dengan syarikat rakaman, Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd. selama setahun bermula April lalu memberitahu, dia cukup teruja dapat memandu kereta buatan Malaysia, Perodua Myvi SE yang dibelinya hasil titik peluh sendiri.

Wana membeli kereta berwarna putih pada harga RM53,000 pada Mac lalu setelah bertanyakan pendapat dan komen daripada ahli keluarga dan kenalan terdekat.

"Sebelum ini, saya banyak mendengar cerita tentang kelebihan kereta Perodua Myvi daripada orang sekeliling yang mengatakan kereta ini menjimatkan minyak dan selesa dipandu.

"Ditambah pula, kereta ini ada banyak di atas jalan raya maka ia menguatkan lagi tanggapan saya bahawa Perodua Myvi merupakan kenderaan yang mesra pengguna.

"Lantaran itu, saya tidak berfikir panjang lagi untuk membeli kereta ini apatah lagi ia sesuai dengan saya yang baru hendak memulakan kerjaya dalam dunia nyanyian.

"Dengan harga yang berpatutan dan mendapat keselesaan sewaktu memandu, saya lihat ia cukup bertepatan dengan jiwa serta kemampuan saya," ujarnya.

Tanpa berselindung Wana memberitahu, dia bukanlah seorang pemandu yang berhemah apabila memegang stereng kereta Perodua Myvi miliknya itu.

"Saya tidak mahu menipu peminat dengan mengatakan saya seorang pemandu yang baik. Terus terang, saya juga ada melanggar undang-undang lalu lintas.

"Kalau sudah terlambat untuk ke satu-satu lokasi, saya akan memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Tetapi saya masih memandu dalam keadaan berhati-hati dan tidak sesekali membahayakan nyawa sendiri atau mengancam keselamatan pemandu lain," akui Wana sambil tersenyum manis.

Wana baru sahaja melancarkan album sulung berjudul Siapa yang memuatkan lima buah lagu, antaranya Orang Biasa dan Ingin Bersama dan Kembali yang berduet dengan Nashrin.

No comments: