KUALA LUMPUR - Para pengguna kad Touch 'n Go selepas ini mungkin boleh menggunakan kad itu walaupun nilai pada kad tersebut kosong kerana jumlah yang digunakan akan ditolak terus daripada akaun bank penggunanya.
Ia berkemungkinan dilaksanakan ekoran kerajaan sedang menimbang untuk memudahkan penggunaan kad tersebut dengan menyelaraskan nilainya dengan wang di dalam akaun bank milik setiap pengguna.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, sekiranya berjaya dilaksanakan, ia bermakna kad itu boleh digunakan walaupun nilai wang di dalam kad tidak ditambah.
Menurutnya, langkah itu merupakan salah satu cadangan bagi memastikan masalah kesesakan jalan raya di plaza tol dapat dikurangkan.
"Dalam erti kata lain, para pengguna tidak perlu membuat pembayaran terlebih dulu, bila pengguna sentuh kad, nilai itu akan ditolak ke akaun mereka.
"Sebagai contoh, kenderaan seperti lori dari Utara ke Selatan, kos tolnya sekitar RM70 hingga RM80 sehala dan memerlukan mereka tambah nilai kad sebanyak RM500 hingga RM700.
"Melalui cara ini, kad tersebut masih boleh digunakan walaupun baki nilainya tinggal RM10 kerana jumlah selebihnya akan ditolak daripada akaun pemiliknya," ujarnya pada sidang akhbar Majlis Promosi Kad 1Malaysia-Touch 'n Go Edisi Terhad di kementeriannya di sini semalam.
No comments:
Post a Comment