KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya menggesa semua 25 pemegang konsesi lebuh raya di negara ini mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah kenderaan berbaris panjang ketika pembayaran di plaza tol pada waktu puncak.
Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, beliau yang pernah ke Plaza Tol Jalan Duta sebelum ini mendapati masa menunggu untuk tujuan itu agak lama sehingga mencapai 45 minit pada waktu pagi.
"Syarikat-syarikat konsesi kalau mereka bersungguh-sungguh, mesti ada jalan untuk menyelesaikan masalah ini.
"Walaupun saya tidak ada memberi satu tempoh masa, saya percaya bila saya sebutkan ini mereka mula mencari kaedah dan saya yakin dalam masa terdekat akan ada pembaikan berhubung masa yang dihabiskan sewaktu berhenti membayar di plaza tol," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Satu Ringgit untuk Satu Mata Ganjaran Kad PLUSMiles di Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini semalam.
Katanya, walaupun kerajaan pernah mencadangkan pengguna beralih kepada penggunaan kad elektronik seperti Touch 'n Go dan Smart Tag, namun pada masa sama masih ada pengguna yang ingin menggunakan wang tunai.
No comments:
Post a Comment