Friday, August 14, 2009

Nasim sasar jualan 300%



SM Nasarudin SM Nasimuddin (dua kiri) bersama Dominique Dourouze (kiri) dan Datuk SM Shalahuddin SM Amin melihat lebih dekat model Peugeot 407 yang dipamerkan sempena majlis perasmian Pusat jualan, alat ganti dan servis (3S) NSB di Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 12 Ogos - Pengedar dan pengimport tunggal kereta Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) menyasarkan pertumbuhan 300 peratus dalam jualan kereta Peugeot pada tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat-syarikat Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, meskipun jualan kenderaan agak perlahan kerana kegawatan ekonomi, tetapi pihaknya yakin mampu mencapai sasaran jualan sebanyak 2,800 buah tahun ini.

''Pada tahun lalu, Peugeot mencatatkan jualan kira-kira 900 buah dan setakat ini, kami sudah menjual kira-kira 2,200 buah pelbagai model dengan model paling laris ialah Peugeot 206, 207, 308 dan 407," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan pusat jualan, alat ganti dan servis (3S) Nasim membabitkan pelaburan bernilai RM500,000 di Juru, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Syarikat-Syarikat Kumpulan Naza, Datuk SM Shalahuddin SM Amin dan Ketua Pengarah ASEAN Automobil Peugeot, Dominique Dourouze.

Nasarudin berkata, sasaran jualan itu berdasarkan pembukaan lebih banyak pusat 3S serta pengenalan beberapa model baru seperti Peugeot 308 Coupe Cabriolet dan 3008 Crossover pada tahun ini.

Selain itu katanya, Nasim juga mula meluaskan pengedarannya dengan mengeksport 38 buah model Peugeot 308 yang dipasang di negara ini ke Thailand, bulan lalu.

''Sebelum ini Nasim sudah mula memasuki pasaran Thailand menerusi model Peugeot 206 dan 407 yang dipasang oleh Naza Automotive Manufacturing Sdn. Bhd. di Gurun (Kedah) tahun lalu," katanya.

Beliau menambah, pihaknya turut merancang membuka sebuah lagi 3S di Kuching, Sarawak bulan depan membabitkan pelaburan RM500,000 dalam usaha mengukuhkan kehadirannya dalam segmen kenderaan bukan nasional.

Nasim katanya, ketika ini syarikat mempunyai dua pusat 3S di Shah Alam, Selangor dan Johor Bahru serta yang terbaru di Juru membabitkan bangunan dua tingkat seluas 8,000 kaki persegi.

''Pembukaan 3S ini adalah antara keutamaan kerana kita mendapati perkhidmatan selepas jualan dan kepuasan pelanggan adalah faktor paling kritikal dalam menentukan kejayaan syarikat," katanya.

Pusat 3S di Juru yang menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dilengkapi diagnostik Sistem Planet Peugeot (PPS) dengan tiga lorong servis yang mampu mengendalikan 12 kereta sehari membabitkan seramai 21 kakitangan terlatih.

No comments: