Model yang popular ini memang memiliki daya tarikan luar biasa termasuk kehadiran model terdahulu, 350Z dalam filem Hollywood, The Fast and The Furious: Tokyo Drift yang ditayangkan tiga tahun lalu.
Melihat aksinya melakukan 'drift' atau adegan berkejaran di bandar raya Tokyo, Jepun memang menarik.
Bagaimanapun, model 350Z jauh berbeza dengan 370Z yang dipertingkatkan hingga menawarkan reputasi cemerlang dan hebat.
Nissan 370Z adalah buah tangan terbaik ETCM untuk peminat setia, tambahan pula versi pandu uji diimport sepenuhnya (CBU) ini didatangkan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Jentera pacuan roda belakang ini menerima sentuhan hampir di setiap inci badannya termasuk dibekalkan dengan enjin terbaru, VQ37VHR DOHC 24 injap enam silinder (V6) teknologi Variable Valve Event and Lift (VVEL).
Sudut luarannya hampir menyamai model 350Z, tetapi 370Z memiliki bacaan jarak antara roda (wheelbase) lebih pendek, tetapi lebih lebar dan merendah bagi mengoptimumkan kestabilan kereta.
Ruang hadapan dipadankan dengan lampu projektor muncung tajam manakala bonet hadapan dan bumbung berlekuk menjadikannya lebih aerodinamik.
Lampu isyarat sisi dengan logo Z menjadikan model ini lebih eksklusif. Lampu belakang dengan LED umpama tanduk menjadikannya lebih garang pada waktu malam.
Padanan rim berjejari 19 inci rekaan khas Rays, dibantu tayar bersaiz 275/35 R19 pada roda belakang menjadikannya lebih tegap menjalar di jalan raya.
Melihat ruang dalamannya, balutan kulit berwarna Persimmon Orange menjadikan ruang nampak luas manakala papan pemuka hitam menyerlahkan ciri sporty.
Konsol pemuka tengah berpenutup membolehkan pemilik menyimpan barangan berharga walaupun pada asalnya ruang berkenaan diisi dengan sistem GPS.
Tetapi sistem GPS hanya ditawarkan pada model sama untuk pasaran Jepun sahaja.
Terdapat tiga paparan meter tambahan menunjukkan jam, sistem elektrik dan suhu minyak pelincir.
Sistem hiburan juga dipertingkatkan apabila 370Z ditawarkan dengan pemain cakera padat enam cakera, MP3 dan enam pembesar suara daripada Bose.
Satu lagi ciri unik adalah pemanas di kedua-dua kerusinya.
Untuk memandunya, anda hanya perlu memijak pedal cengkam dan tekan punat Start dan terdengar ngauman enjinnya yang maskulin.
Memandunya tidak sesukar mana kerana 370Z dicipta untuk pemanduan di bandar, tetapi pedal clutch agak keras sedikit menggusarkan ketika pertama kali memandu.
Bagaimanapun, posisi memandu agak melunjur manakala stereng boleh laras yang bergerak bersama panel meter memudahkan kawalan pemanduan.
Jika mahukan aksi drift, pemandu hanya perlu mengaktifkan fungsi 'Syncronized Rev Control' lima kelajuan.
Sistem ini berfungsi mengekalkan tahap revolusi enjin (rev) ketika gear diturunkan sama seperti teknik manual 'heel and toe' yang mengekalkan operasi optimum enjin.
Tahap pecutan memang hebat dan penulis mencuba mencecah kelajuan melebihi 250 km/j tanpa gegaran luar biasa.
Selekoh juga tidak menjadi masalah berikutan 370Z dilengkapi dengan bar penstabil.
Kuasa maksimum setinggi 332hp dan tork maksimum 365Nm pada 5,200rpm, 370Z menawarkan kuasa yang tidak terbatas.
Bagi mengimbangi kuasa yang ada pada 370Z, jentera berprestasi tinggi ini dibekalkan dengan enam beg udara, brek cakera hadapan empat piston aloi, ABS empat roda, EBD dan BA.
Jentera mewah ini berharga RM370,000 termasuk insurans menjadikan antara model pilihan golongan mewah.
SPESIFIKASI
NISSAN 370Z
ENJIN: VQ37VHR 3,696cc DOHC 24 injap V6 Variable Valve Event and Lift (VVEL)
KUASA MAKSIMUM: 332 hp pada 7,000 rpm.
TORK MAKSIMUM: 365Nm pada 5,200 rpm.
CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara, ABS empat roda, EBD dan BA.
HARGA: RM370,000 termasuk insurans
Tayar dicadangkan
ContiSportContact 2
245/40 ZR19 98Y
1 comment:
ha... abang kenapa kereta kena nampak garang?
Post a Comment