Saturday, August 22, 2009

Kembara 4WD MPSJ

Para peserta meredah hutan dengan 4WD di laluan off road dan treking untuk ke air terjun di Jerantut.


DI pintu hutan. Lokasi 'wajib' untuk peserta bergambar sebelum masuk ke belantara Ulu Salan.

KATA orang tak kenal maka tak cinta. Ungkapan itu bukan sahaja sesuai ditujukan kepada individu tetapi juga kepada aktiviti luar. Inilah yang berlaku kepada sekumpulan penggemar aktiviti luar yang tidak pernah meneroka khazanah belantara dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Biasanya, ahli Kelab Rekreasi MPSJ (Majlis Perbandaran Subang Jaya) merentas hutan dengan berjalan kaki (jungle tracking) untuk menjayakan aktiviti perkhemahan. Justeru, peluang menyertai program Lost Boy Trail ke Lata Manik atau lebih dikenali Lost Waterfall di belantara Ulu Salan, Jerantut, Pahang baru-baru ini memberi pengalaman baru kepada mereka.

Sungguhpun bilangan yang menyertai program ini hanya 13 orang tetapi pengalaman unik, menarik dan mengujakan yang dibawa pulang ke pejabat berjaya mempengaruhi ahli-ahli lain untuk menyertai program yang sama pada masa akan datang.

Seperti kata Pengerusi Kelab Rekreasi MPSJ, Isham Abu Kassim, 35, beliau mendapat maklum balas positif daripada semua ahli kelab yang menyertai program tersebut.

"Semua yang pergi berpuas hati. Yang tak pergi melahirkan rasa kesal selepas mendengar cerita dan melihat gambar-gambar program tersebut. Insya-Allah, kami akan pergi lagi ke tempat ini," katanya kepada Kosmo!.


MENGHAYATI suasana malam yang damai sambil memetik gitar.

Selain Lata Manik, pihak penganjur juga membawa peserta ke Lata Telur, Lata Permaisuri dan Lata Tangga.

Kelab rekreasi MPSJ aktif mengadakan pelbagai program untuk ahli dan bukan ahli sepanjang tahun. Antara aktiviti yang telah diadakan adalah mendaki Gunung Siku di Cameron Highlands, Pahang; mendaki Gunung Kinabalu, Sabah dan perkhemahan serta memancing di Hutan Belum, Perak.

Sementara itu, seorang peserta, Aznan Ramli, 33, berkata, aktiviti yang diadakan ini berbeza dengan aktiviti 4WD yang pernah diikutinya.

"Program 4WD yang pernah saya ikuti dahulu hanya membawa peserta meredah hutan di laluan off road dan sekadar melepak di tepi sungai atau air terjun. Tiada aktiviti treking seperti ini," katanya.


BERGAMBAR kenangan di Lata Tangga.

Rakannya, Kamarul Hafizad Kamarudin, 30, pula berkata: "Best sangat sebab dapat berkumpul dengan rakan-rakan pejabat. Kalau di pejabat, memang susah nak lepak macam ini sebab masing-masing sibuk dengan kerja."

Mengulas lanjut, katanya, beliau berpuas hati dengan apa yang disediakan oleh pihak penganjur sama ada peralatan perkhemahan, aktiviti dan makanan.

"Tak pernah saya jumpa makanan yang sebegitu 'mewah' di dalam hutan. Biasanya, hanya hidangan ringkas disediakan," ujarnya yang begitu menyukai masakan nasi tomato dengan lauk ayam merah serta kurma daging dan ayam bakar madu.

Sementara itu, seorang krew Middle Earth, Fazruly Amirrudin (Angah), 29, berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan kepuasan peserta dan bagi memastikan setiap peserta berpuas hati, pihaknya akan meminta komen daripada mereka.

"Mereka boleh nyatakan dalam bentuk bertulis atau beritahu sendiri kekurangan yang ada. Tetapi setakat hari ini, pihak kami tidak pernah menerima komen negatif mengenai program yang telah diadakan. Alhamdulillah, semua yang pernah mengikuti program kami memberi komen positif dan ada yang bercadang untuk menyertai lagi," katanya.


WINCH digunakan untuk menarik jentera ini keluar dari lumpur.

Menurutnya, pihaknya juga begitu menitikberatkan keselamatan peserta sehingga sanggup mendukung peserta yang terlalu letih untuk meneruskan perjalanan balik dari Lost Waterfall ke tapak perkhemahan.

"Perjalanan ke Lost Waterfall dari tapak perkhemahan mengambil masa kira-kira tiga jam. Saya pernah mendukung seorang peserta yang terlalu letih untuk berjalan balik ke tapak perkhemahan. Peserta lain sudah sampai pada pukul 6 atau 7 petang, tetapi peserta tadi sampai pada pukul 11.59 malam," ujarnya.

Seorang lagi krew Middle Earth, Amiruddin Sabri Sahamuddin, 29, yang mahir dalam hal-hal teknikal berkaitan kenderaan 4WD berkata, dalam setiap aktiviti 4WD, mesti ada seorang dua yang mahir dalam selok-belok teknikal.


KEMAHIRAN Amiruddin Sabri dalam hal-hal teknikal termasuk enjin 4WD menarik perhatian peserta lain.

Ini perlu kerana, katanya, jika terdapat kenderaan mengalami masalah ketika di laluan off road, kemahiran yang dimiliki akan digunakan sepenuhnya untuk mengatasi masalah tersebut. Amir mula mengumpul pengalaman di hutan sejak tahun 1999 iaitu ketika mengikut aktiviti seorang rakan di belantara Rompin, Pahang. Dalam aktiviti itu, beliau menemui Rate Desilva, 37, yang kemudian membuka peluang kepadanya untuk mencari, membuat dan mengatur acara yang besar seperti Rainforest International Challenge (RFC) sejak tahun 2001 sehingga 2006.

"Tugasan utama saya adalah sebagai track tester iaitu menguji trek yang akan dilalui oleh peserta sebelum pertandingan 4WD bermula dan saya juga banyak terlibat dalam kerja-kerja recovery jika ada kenderaan tersangkut di dalam hutan," ujarnya.

Kesemua pengalaman itu, katanya, kini dikongsi sepenuhnya dengan kesemua warga kerja Middle Earth.


No comments: