Tuesday, August 25, 2009

Diesel rumusan khas

SERENTAK pengenalan RON95 di seluruh negara minggu depan, Petronas Dagangan Bhd melancarkan diesel baru yang menepati standard Euro 2M.

Produk yang dikenali sebagai Petronas Dynamic Diesel itu menawarkan bahan bakar lebih mesra alam, kurang enapan dan sesuai digunakan bagi semua model kenderaan diesel.

Pengurus Besar Kanan Petronas Dagangan, Md Fadzlan Abdul Samad, berkata harga ditawarkan adalah sama dengan harga semasa iaitu RM1.70 seliter.

"Kami menjangkakan dapat meningkatkan penguasaan pasaran dalam segmen diesel selepas diperkenalkan di seluruh negara 1 September ini.

"Bermula bulan hadapan, semua stesen minyak Petronas akan menawarkan diesel dengan kualiti Euro 2M," katanya.

Pelancaran dilakukan Ketua Eksekutif Petronas Dagangan, Sabarudin Mohd Amin.

Md Fadzlan berkata, Petronas Dynamic Diesel dirumus khas dengan bahan tambahan Sinar D07 untuk mengekalkan kebersihan enjin kenderaan.

"Petronas Dynamic Diesel memiliki tahap sulfur lebih rendah berbanding diesel lama, membolehkan ia sesuai digunakan kenderaan berteknologi diesel terkini.

"Bagaimanapun, diesel terbaru ini juga sesuai digunakan bagi kenderaan diesel enjin lama," katanya.

Katanya, sifat bahan tambahan yang juga berfungsi sebagai antipembuih secara tidak langsung berjaya menghalang pembentukan buih ketika diesel berkenaan diisi manakala komponen 'bahan bakar nyahkabut' menghalang pembentukan emulsi bahan bakar dan air.

"Penghasilan Petronas Dynamic Diesel membabitkan ujian dan penyelidikan lanjut termasuk ujian jalan raya sejauh 540,000 kilometer.

"Malah, Petronas juga turut melakukan ujian enjin selama 100 jam terhadap keadaan kuasa, tork dan pembersihan penggalak bahan bakar enjin," katanya.

Menurutnya, ujian berkenaan menjadikan Petronas Dynamic Diesel melepasi standard paling ketat ditetapkan World Wide Fuel Charter (WWFC) bagi kategori enjin kenderaan.

No comments: