Tuesday, August 25, 2009

Redah lumpur, sahut cabaran

MENUNGGANG motosikal di laluan berselut dan berlumpur bukanlah sesuatu yang mudah, malah ia cukup untuk menguji kesabaran, kemahiran dan kecekapan penunggang mengendalikan motosikal masing-masing.

Bagi penunggang motosikal lasak, mereka amat menggemari situasi ini kerana semakin teruk keadaan litar, keseronokan semakin terasa.Baru-baru ini bertempat di Litar Motor Lasak Felda Jengka 1, Maran berlangsung Kejohanan Motor Lasak Terbuka peringkat Dun Kuala Sentul yang menyaksikan ramai bakat baru mempamerkan aksi menarik.

Cabar mencabar, potong memotong sesama sendiri menjadi agenda utama dalam usaha merebut tempat pertama tiba di garisan penamat walaupun 'besi tunggangan' sudah bertukar warna dan berlumpur tebal.

Bagaimanapun, sebelum menamatkan 'perjuangan', pelumba berpeluang menguji kecekapan masing-masing melalui lorong sempit, becak, berlopak, berselut dan berlumpur serta di celah pokok sawit. Ia cukup mengujakan.

Walaupun tubuh dibaluti selut dan cermin topi keledar dipenuhi tompokan lumpur, mereka kian seronok berlumba.

Malah, ada memasang angan-angan menyertai kejohanan di peringkat yang lebih tinggi.

Dalam ucapan perasmian litar dan kejohanan sukan motor lasak terbuka kali pertama itu, Ahli Dewan Undangan Negeri, (Adun) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsudin, berkata sukan bermotor bukan sahaja mampu mengetengahkan bakat anak kampung dan Felda, malah melahirkan pelumba peringkat antarabangsa.

"Trek ini membolehkan remaja berlatih dan mengurangkan aktiviti merempit di jalan raya," katanya.

Beliau berkata, peminat sukan motosikal lasak terutama golongan belia boleh menjadikan trek sebagai gelanggang latihan.

Seramai 65 pelumba termasuk dari Selangor dan Sembilan menyertai kejohanan sukan motor lasak itu yang dianjurkan Persatuan Belia Harapan Baru Felda Jengka Satu dengan kerjasama Dun Kuala Sentul.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Cub Cross, Cub Cross Terbuka, Klasik dan Klasik Terbuka dengan tawaran hadiah keseluruhan RM6,000.

Pengerusi persatuan belia berkenaan, Zairi Ismail, berkata pihaknya berhasrat menganjurkan kejohanan sama tahun depan dengan penyertaan pelumba kebangsaan.

"Kita akan menyediakan hadiah lebih lumayan sebagai tarikan kepada peserta," katanya.

Katanya, litar berkenaan sudah dinaik taraf menjadi litar yang lebih mencabar berbanding lima tahun lalu.

"Justeru, peminat sukan motosikal lasak boleh menggunakan litar ini pada bila-bila masa sahaja dan menggilap bakat untuk muncul pelumba handalan," katanya.

Seorang pelumba, Afdhaluddin Mohd Muhiddin, 20, berkata keadaan sebahagian litar diibaratkan seperti kawasan kerbau berkubang amat menyeronokkan.

"Walaupun terpaksa berentap dalam selut, becak dan lumpur, saya tiba di garisan penamat," katanya.

Peserta lain, Mohd Sabri Sulaiman, 29, berkata trek baru itu sesuai untuk golongan belia yang gemar berlumba, malah Mat Rempit boleh menguji skil masing-masing di kawasan berkenaan.

"Ramai peserta gagal menamatkan perlumbaan masing-masing kerana tersekat dalam selut yang dalam dan motosikal mengalami kerosakan," katanya.

No comments: