Saturday, August 15, 2009

Exora raih empat bintang MyVAP


UJIAN ketahanan kerangka Proton Exora dilakukan bagi mengenal pasti tahap keselamatan kenderaan itu dalam senario kemalangan secara berhadapan.

KUALA LUMPUR - Selepas hanya empat bulan dilancarkan, kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora muncul sebagai kenderaan pertama negara mencapai taraf keselamatan empat bintang di bawah Program Penilaian Kenderaan Malaysia (MyVAP).

MyVAP yang diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) menyamai konsep Program Penilaian Kereta Baru Eropah (EuroNCAP).

Ia menawarkan tahap penilaian tertinggi lima bintang berdasarkan spesifikasi keselamatan sesebuah kenderaan.

Ketua Pengarah Miros, Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, penilaian itu mengambil kira ciri-ciri keselamatan dalam Exora seperti sistem beg udara keselamatan (SRS Airbag) dan brek anti-kekunci (ABS).

Selain itu, ujian kemalangan yang telah dijalankan ke atas model Exora di luar negara juga menjadi sebahagian daripada kaedah penilaian.

"Proton telah menjalankan penilaian sendiri di fasiliti luar negara. Jadi, kita guna data sedia ada untuk melihat tahap piawaian keselamatan Exora,'' katanya selepas majlis penyampaian sijil MyVAP kepada Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir di sini semalam.

No comments: