Wednesday, August 12, 2009

Wajah lebih segar


PEMINAT jentera Mitsubishi kini boleh tersenyum apabila Mitsubishi Motors (M) Sdn Bhd melancarkan model sedan terlaris, Lancer 2.0 GT yang dipertingkatkan dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Grandis 2.4L, baru-baru ini.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keizo Ono berkata dua model berkenaan dilancarkan dengan wajah baru lebih segar bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan jentera lebih sporty dan terkini.

“Sejak model Lancer GT dilancarkan kira-kira dua tahun lalu, kami menerima pelbagai maklum balas beberapa perubahan ciri luaran dan dalaman kenderaan sedan terbaik ini.


“Malah, Grandis yang memenangi anugerah ‘Family Car of the Year’ anjuran New Straits Times/ Maybank tahun lalu turut menerima sentuhan baru,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Mitsubishi Motors (M) Sdn Bhd, Omar Harun.

Mitsubishi Lancer 2.0 GT mengalami beberapa sentuhan baru terutama muncung ‘jet-fighther’ hadapan berwarna hitam seperti model Lancer Evolution.

Jentera sedan itu dijana enjin blok aloi 2.0L 16 injap DOHC dan dipadankan dengan teknologi terkini MIVEC menawarkan 155 kuasa kuda (hp) dan 199 Nm tork.

Ia turut dilengkapi transmisi automatik Mitsubishi INVECS III CVT lebih senyap, lancar dan berkuasa.

Ruang dalaman turut diberi perubahan dengan pemain cakera padat format MP3 enam pembesar suara selain kerusi balutan kulit hitam bersama jalur benang merah.

Padanan bodykit terkini menghiasi luaran MPV Grandis yang dibekalkan bersama rim bersaiz 17 inci, menjadikannya lebih sporty.

MPV terbabit dijana enjin 2.4L MIVEC 16 injap DOHC bersama transmisi automatik Mitsubishi INVECS II.

Lancer GT dijual pada harga RM120,598.10 (tanpa insurans) dengan tiga warna pilihan iaitu putih, hitam dan merah manakala Grandis ditawarkan pada harga RM160,557.80 (tanpa insurans) dengan empat warna pilihan iaitu White Pearl, Black Mica, Cool Silver dan Gray Mica.

Ono berkata, sebagai memenuhi kehendak pasaran, pihaknya turut membuka tiga lagi cawangan Pusat 3S di Kedah, Miri dan Kuching, Sarawak.

No comments: