Tuesday, August 25, 2009

Peminat kereta lama


AKTIVITI car boot sale turut diadakan pada perjumpaan ini yang diadakan di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur.

BERSEMPENA dengan bulan kemerdekaan yang kini sedang berlangsung, olskool.org, sebuah kelab kereta-kereta lama telah mengadakan perjumpaan bagi memberi ruang kepada ahli-ahlinya menjiwai bulan kemerdekaan dengan penuh keinsafan, selain merapatkan hubungan silaturahim. Bulan kemerdekaan berlangsung dari 16 Ogos lalu sehingga 16 September ini.

Antara aktiviti santai yang dijalankan oleh kelab itu adalah aktiviti 'aku tengok keta ko, ko tengok keta aku', car boot sale, pertunjukan pemotoran, sesi fotografi, teka skru dan banyak lagi.

Tema pertemuan itu adalah 'kelahiran semula jentera olskool anda'. Ahli-ahlinya diharapkan dapat memastikam kereta olskool masing-masing kembali kemas dan nampak dijaga dengan baik.

Menurut pengerusi olskool.org, Amirizal Ismail, 34, lebih daripada 200 ahli hadir pada perjumpaan yang diadakan di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Syarat untuk menjadi ahli kelab ini ialah memiliki kenderaan yang dikeluarkan pada tahun sebelum 1984.

"Untuk perjumpaan ini, setiap ahli dikenakan bayaran sebanyak RM15. Ramai juga yang hadir membawa kawan-kawan dan ada juga membawa keluarga. Perjumpaan ini sudah menjadi seperti sebuah hari keluarga yang besar," katanya.

Perjumpaan tersebut bukan sahaja mengumpul peminat kereta lama sekitar Kuala Lumpur, malah ada juga ahli datang dari Kelantan dan Johor Bahru.


PERHIMPUNAN peminat kereta lama ini berjaya mencuri tumpuan pengunjung Taman Tasik Permaisuri.

Menurut Mohd. Hazlan Md Razali, 25, dari Kota Bahru, Kelantan, dia turut membawa keluarganya bagi memenuhi aktiviti keluarga di hujung minggu, selain bersiar-siar di Kuala Lumpur.

"Saya memang minat kereta lama. Sebenarnya, kereta Toyota KE 30 ini milik bapa saya.

"Bila bapa tidak menggunakannya lagi, saya ambil dan buat sedikit pengubahsuaian tetapi saya masih mengekalkan enjinnya," katanya yang telah membelanjakan hampir RM10,000 untuk menambah baik kereta tersebut.

Apa yang menarik, bukan sahaja kaum Melayu meminati kereta lama. Seorang peserta, Ronald Gan Chee Weng, 24, memberitahu, walaupun rakan sebayanya teruja memandu kereta sport mewah, namun dia tetap meminati kereta lama.

Selain tidak perlu berhutang, kereta lama mempunyai nilai-nilai unik yang memberi kepuasan kepada pemiliknya.

"Kereta Datsun B110 tahun 1972 ini, saya beli pada harga RM1,000 sahaja dan saya hanya mengeluarkan kira-kira RM6,000 bagi membaik pulih kereta itu.

"Wang yang saya keluarkan adalah semata-mata untuk membeli alat ganti kerana saya boleh melakukan kerja pembaikan sendiri memandangkan saya mempunya kepakaran dalam bidang itu," katanya yang merupakan seorang Instruktor Teknikal Automotif di sebuah institusi.

Mereka yang ingin menjadi sebahagian daripada ahli kelab ini, bolehlah melayari laman web www.olskool.org.

1 comment:

JAMALUDIN ISMAIL said...

TERBAIK UNTUK ENJIN KERETA LAMA,
SILA KLIK: http://tinyurl.com/warisandjsmp