Saturday, July 25, 2009

600 Exora ditempah di Indonesia

JAKARTA 24 Julai - Buat pertama kali selepas lebih dua tahun memasuki pasaran Indonesia, syarikat pengeluar kereta kebangsaan Proton Holdings Bhd. (Proton) mempunyai produk yang tepat dengan permintaan pasaran tempatan.

Produk itu adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) Exora dan terbukti baru seminggu diperkenalkan di sini, sebanyak 600 tempahan telah diterima.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang gembira melihat perkembangan positif itu yakin kenderaan berkenaan bakal mendapat sambutan di Indonesia.

"Buat pertama kali kita mempunyai produk yang betul untuk pasaran Indonesia, jadi kita akan melakukan promosi besar-besaran bagi meningkatkan kesedaran tentang kualiti kereta keluaran Proton," katanya ketika ditemui wartawan semasa pameran automobil antarabangsa di sini hari ini.

Majlis pelancaran Exora disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Zain dan turut hadir ialah Pengerusi Proton, Datuk Mohd Nadzmi Mohd. Salleh.

Tambah Syed Zainal Abidin, Indonesia adalah pasaran kenderaan pelbagai guna yang besar dan penting.

Negara republik itu, kata beliau, merupakan pasaran antarabangsa kedua yang dilancarkan Exora dan selepas ini MPV tersebut akan dilancarkan di Thailand, Filipina dan China.

Menurut beliau, Exora merupakan pencapaian utama syarikat itu dan ia bukan sahaja mendapat sambutan di pasaran tempatan, tetapi juga pasaran antarabangsa.

Bagi memberi perkhidmatan selepas jualan yang cekap, katanya, Proton kini telah menambah 17 buah pusat jualan dan 20 pusat penyelenggaraan.

Menjelang tahun 2010, ujar beliau, Proton mensasarkan sebanyak 33 pusat jualan dan 38 pusat penyelenggaraan ditubuhkan.

Sehubungan itu, jelas beliau, Proton telah menandatangani perjanjian dengan Petronas untuk menyediakan pusat penyelenggaraan di stesen-stesen minyak milik syarikat berkenaan.

Secara keseluruhan tahun lalu, katanya, sebanyak 1,059 buah kereta keluaran Proton berjaya dijual di Indonesia.

Exora yang dijual di Indonesia pada harga RM66,500 hingga RM79,000 bergantung spesifikasinya. - Utusan

No comments: