BMW teruskan misi pembangunan
LONDON - Pasukan BMW Sauber menegaskan, mereka akan terus memperbaiki jentera F1.09 meskipun sedar peluang untuk meraih kejuaraan musim ini sudah hampir tertutup.
Selepas sembilan perlumbaan, Nick Heidfeld dan Robert Kubica hanya mampu mengumpul lapan mata untuk meletakkan BMW Sauber di tempat kelapan keseluruhan bagi kategori pengeluar.
"Memang kami sudah mula membina jentera untuk saingan musim hadapan tetapi kami tidak akan meng- abaikan jentera musim ini," kata Pengarah Sukan BMW, Mario Theissen.
"Tiada sebab untuk kami menghentikan pembangunan jentera F1.09. Tahun hadapan, tiada perubahan drastik dalam peraturan mengenai aerodinamik dan kami masih perlu belajar mengenainya.
"Selain itu, ketika ini tiada lagi sesi ujian dan sekiranya kami meneruskan pembinaan jentera tahun ini, ia akan memberi kelebihan untuk kami menerima input berguna untuk pembinaan jentera tahun 2010."
Begitupun, Theissen mengakui, agak mustahil untuk mereka memperoleh kejayaan musim ini tetapi berharap agar meraih kejayaan podium sebelum musim 2009 berakhir.
"Semua krew pasukan sedar, peluang untuk kami memperoleh kemenangan musim ini memang tipis dan boleh dikatakan agak mustahil," tambah Theissen.
"Namun, kami tidak akan berputus asa dan dengan pembangunan yang berterusan, saya berharap sekurang-kurangnya kami mampu meraih kedudukan podium sebelum musim 2009 menutup tirai." - Agensi
No comments:
Post a Comment