Biarpun berhabis ratusan ribu ringgit, namun Shahril tidak kisah asalkan minat terhadap motosikal klasik dapat direalisasikan.
|
|
Selepas berpuas hati dengan segala maklumat yang diperolehnya, dengan penuh semangat, Mohd. Shahril Mohd. Noory, 52, bangun pagi hari itu. Dia sedar jarak antara Paka, Terengganu menuju ke Gemas, Johor mungkin memakan masa lebih enam jam. Itu pun kalau tidak tersesat.
Shahril merujuk kepada sebuah motosikal klasik jenis Coventry Victor idamannya yang dikhabarkan rakannya tertanam di sebuah halaman rumah milik lelaki Cina yang terletak di Gemas, Segamat.
Seingatnya, dia perlu meredah sebuah ladang babi untuk sampai ke sana. Tetapi, sebelum tiba di tempat yang dimaksudkan, Shahril sebenarnya terpaksa merentas rel kereta api dan masuk ke ladang kelapa sawit.
Tidak cukup dengan itu, dia melalui pula ladang kebun getah, sebelum mula tercium bau busuk yang datang dari kandang-kandang ternakan babi yang agak buruk strukturnya.
Besi buruk
Tiba-tiba, hatinya bersorak gembira. Tidak jauh di depan matanya, tersergam sebuah rumah kayu dengan halaman yang agak luas. Keluar dari kereta selepas menggeliat beberapa ketika untuk menghilangkan lenguh, dia mula mencari-cari besi bercat merah yang diberitahu oleh kawannya.
Sedang dia asyik meninjau bangkai besi yang separuh tertanam itu, satu suara menegurnya.
"Lu apa mau?" tanya seorang apek dengan wajah yang seperti langsung tidak tahu senyum.
"Saya mahu beli motor ini lah uncle," jawab Shahril penuh harap.
|
|
Percaya atau tidak, besi buruk yang tertanam itu sebenarnya sebuah motosikal klasik Coventry Victor. Barangkali dimiliki orang putih sewaktu Tanah Melayu dijajah Inggeris suatu masa dahulu, ia terbiar sejak sekian lama tanpa ramai yang tahu tentang nilainya.
"Kalau tidak silap, hanya terdapat lima buah sahaja motosikal jenis Coventry Victor di dunia. Kalau masih ada pun, mungkin sebahagian besarnya tidak boleh digunakan lagi.
"Namun, proses untuk mendapatkannya bukan senang. Saya terpaksa merayu, pergi berjumpa dan membuat rundingan dengan uncle sebanyak tiga kali. Akhirnya, selepas agak lama menunggu, dia bersetuju untuk menjual motosikal tersebut pada harga RM19,000," cerita lelaki berasal dari Taiping, Perak itu tentang kesungguhannya memperoleh motosikal klasik tersebut.
Nilai estetika
Tanpa melengahkan masa, dia terus melakukan proses restorasi ke atas Coventry Victor buatan Britain itu sehingga berhabis RM10,000. Tetapi pengarah syarikat Nikmat Ria (M) Sdn. Bhd. yang menjadi pembekal alat ganti untuk petrokimia dan gas itu tidak kisah, asalkan hatinya puas.
Kegilaan Shahril terhadap motosikal klasik bermula sejak tahun 2000 ketika dia berusia 43 tahun. Baginya, motosikal klasik mempunyai nilai estetika yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Shahril kini sudah pun mempunyai lebih 50 buah motosikal klasik pelbagai jenis.
Bapa kepada tiga orang anak itu sudah tidak kisah lagi tentang apa yang orang hendak cakap mengenai minat dan kesanggupannya menghabiskan masa dan wang demi motosikal yang bersusun di rumahnya.
"Mesti ada yang cakap kenapa saya sanggup membazir membeli motosikal lama yang rosak pada harga yang tinggi.
"Kalau hendak tahu, lagi pelik sebuah motosikal tersebut, lagi tinggi keinginan saya untuk memperolehnya. Lagipun saya tahu, jika motosikal klasik dibaik pulih dan disimpan lebih lama, nilai motosikal akan melonjak tinggi ke tahap yang mungkin kita tidak pernah fikirkan," katanya bersungguh-sungguh.
Alat ganti
Antara koleksi yang dimiliki Shahril ialah Coventry (1920), BMW (1941), Norton (1941), Ducati (1965), Triumph (1956), Parilla (1968), Honda (1965-1970), AJS (1965), Francis Bennett (1960an), Royal Enfield (1960-1961), BSA (1959) dan beberapa buah motosikal keluaran Vespa termasuklah NSU Prima (1966) dan Lambretta (1966).
Shahril mengakui, kebanyakan motosikal klasik yang diperolehnya selama ini memerlukan proses baik pulih penuh teliti dan memakan masa yang lama.
Alasannya, memandangkan usia motosikal ini sudah menjangkau puluhan tahun, maka ia memerlukan alat ganti yang sesuai mengikut modelnya secara khusus, selain kemahiran tinggi seorang mekanik.
Mujur juga dia mengenali dua mekanik yang mahir dalam mengubah suai motosikal-motosikal klasik. Tetapi ada juga alat ganti yang terpaksa ditempah dan diimport kebanyakannya daripada England.
Shahril juga dikira bertuah kerana minat dan ketaksubannya terhadap motosikal klasik tidak mendapat bantahan isteri. Malah, lama-kelamaan isterinya juga mempunyai minat yang sama dan kerap mengikut Shahril berkonvoi ke merata tempat.
Menubuhkan kelab motosikal klasik yang diberi nama The Nine Riders, minat mendalam Shahril terhadap motosikal klasik turut membuatkan anak sulungnya, Mohd. Eddy Syafiq, 24, mengikut jejak mengumpul jentera sebegitu.
Koleksi basikal antik
Selepas tamat persekolahan dan mendapat lesen, Shahril menghadiahkan Eddy sebuah motosikal Norton Commando dengan enjin bersesaran 950cc.
"Pernah seorang mat saleh menawarkan harga RM50,000 untuk membeli Norton Commando itu, tetapi saya sayang untuk menjualnya.
"Kalau diikutkan, memanglah RM50,000 besar jumlahnya, tetapi motosikal itu ialah pemberian istimewa daripada ayah. Apatah lagi ia merupakan motosikal pertama yang pernah saya miliki. Jadi, biarpun mungkin akan ada yang membuat tawaran lebih tinggi, saya tidak mahu menjualnya," katanya.
Mempunyai sebuah lagi motor klasik, Triumph Speed Twin 500cc, Eddy akan sentiasa memastikan motosikal tersebut akan menemaninya ke mana sahaja dia pergi.
Kini, minat Shahril itu 'menjangkiti' hampir kepada seluruh ahli keluarganya. Ini termasuklah adik beradik dan saudara maranya.
Selain motosikal, Shahril turut menyimpan koleksi basikal antik seperti yang pernah ditunggang oleh seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk.
Basikal-basikal lain yang kini ada dalam simpanan Shahril ialah jenama klasik seperti Sunbeam dan Rally. Malah, basikal yang digunakan pada zaman penjajah seperti boleh dilihat dalam filem Sarjan Hassan pun ada.
3 comments:
Slm bro..
Mcm tu la kan kalau dah minat. Berapa duit habis pun tak apa. yg penting kepuasan yg kita dapat...
dapat durian runtuh uncle tu..tk sangka benda yg begitu lama amat bernilai harganya..hehe..
Bro tengok ah dia keje apa,padan ah dapat kumpul 50 bijik moto he he...
Payah nak bela barang klasik ni,maintainent tinggi.
Gua tak bleh blah la dengan uncle tuh...dah tau besi buruk jual la murah sikit kan...kesian oh kat bro yang datang dari jauh kena harga camtu plak..
Post a Comment