Thursday, July 30, 2009

BMW Sauber sah tinggalkan F1


TINGGAL KENANGAN... Theissen (belakang kanan) bergambar bersama dua pemandu BMW Sauber, Robert Kubica dan Nick Heidfeld.

BERLIN - Pengeluar kereta terkemuka Jerman, BMW mengumumkan akan menarik diri daripada perlumbaan kereta Formula Satu (F1) pada penghujung musim ini.

BMW yang mengambil alih pasukan Sauber pada penghujung tahun 2005 menjelaskan, keputusan untuk menarik diri dibuat kerana ingin menggunakan sumber terhad mereka terhadap pembangunan di sektor lain.

"Kumpulan BMW tidak akan meneruskan kempen dalam F1 selepas penghujung musim 2009," kata Pengerusi dan Ketua Eksekutif BMW, Norbert Reithofer.

"Sumber kami amat diperlukan untuk digunakan dalam projek pembangunan teknologi pemanduan yang baru serta projek-projek lain,

"BMW bagaimanapun akan terus aktif melibatkan diri dalam perlumbaan motosport yang lain."

Sementara itu, Pengarah Motosport BMW, Mario Theissen menjelaskan mereka menerima keputusan tersebut dan akan memberi tumpuan penuh terhadap baki saingan musim terakhir ini.

"Sudah tentu kami pekerja-pekerja BMW di Hinwil dan Munich ingin meneruskan kempen dalam perlumbaan F1 dan membuktikan bahawa kami mampu untuk meraih kejayaan selepas tiga musim yang membanggakan," kata Theissen.

"Namun saya boleh faham mengapa keputusan ini dibuat dari perspektif korporat. Bagaimanapun kami akan fokus terhadap baki saingan musim ini dan menunjukkan semangat juang bagi menghasilkan keputusan yang terbaik."

BMW Sauber yang menduduki tempat ketiga keseluruhan bagi kategori pengeluar musim lepas, berdepan dengan musim yang sukar tahun ini apabila Nick Heidfeld dan Robert Kubica masing-masing sekadar menduduki tempat ke-13 dan 15.

"Kami hanya mengambil masa tiga tahun untuk meletakkan pasukan dalam kelompok tiga terbaik tahun lepas," tambah Theissen. - Agensi

No comments: