Thursday, July 9, 2009

Honda kuasa besar GT Jepun


hiromasa tanaka (kiri) bergambar bersama pasukan Yoshiki & Dome Project ketika sesi lawatan yang dianjurkan Honda Malaysia Sdn. Bhd. baru -baru ini.










LUPAKAN sejenak keseksian dan kejelitaan gadis litar Super GT Jepun (GT Queen) sebaliknya fokus kepada aksi hebat kereta touring berentap di litar terutamanya pasukan Honda yang menghantar lima pasukan bagi saingan musim ini.

Kenapa Honda? mereka merupakan kuasa besar dalam perlumbaan yang diperkenalkan pada 1994 bersaing hebat dengan seteru utama seperti Nissan dan Toyota.

Kali pertama Honda muncul juara GT Jepun keseluruhan ialah pada 2000 melalui pemandu berpengalaman Ryo Michigami bersama pasukan Castrol Dome Mugen Project.

Ketika itu Michigami memandu Honda NSX, kereta yang dikeluarkan syarikat Jepun itu pada 1990 hingga 2005 dan diubahsuai untuk perlumbaan GT Jepun serta digunakan sehingga sekarang.

Saban hari Honda mengorak langkah mengikut perkembangan terkini dan pemodenan yang berlaku dalam industri sukan pemotoran memberi saingan kepada pengeluar kereta lain dari negara matahari terbit itu.

Baru-baru ini Utusan Malaysia diberi peluang untuk melawat ke pit pasukan Honda ketika perlumbaan GT Jepun pusingan keempat diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

Lawatan secara singkat yang dibawa khas oleh Honda Malaysia Sdn. Bhd. itu memberi peluang kepada media untuk melihat secara dekat teknologi dan persiapan yang dijalankan oleh pasukan tersebut.

Peluang melawat salah satu pit pasukan Honda, Team Yoshiki & Dome Project bersama Ahli Projek NSX-GT Honda, Hiromasa Tanaka digunakan sebaik mungkin untuk mengetahui tentang perkembangan dan persiapan terkini pasukan tersebut.

Ketika lawatan dan sesi soal jawab diadakan jurutera Honda sedang menganalisis sistem komputer bagi mengawal suhu di dalam kereta tersebut untuk memberi keselesaan kepada pelumba.

Ternyata Honda mengambil berat tentang penggunaan teknologi terkini dan serius mengenai penglibatan mereka dalam perlumbaan GT Jepun bagi kategori GT500 yang melibatkan 14 buah pasukan.

Malah Honda sentiasa bercita-cita besar untuk menguasai perlumbaan ini apabila sebelum perlumbaan bermula di Sepang mereka awal-awal lagi meletakkan sasaran untuk menguasai lima tempat teratas.

Perkara itu diluahkan sendiri oleh Tanaka dalam nada berseloroh selepas ditanya mengenai sasaran kelima-lima pasukannya, Autobacs Racing Aguri, Keihin Real Racing, Yoshiki & Dome Project, Nakajima Racing dan Kunimitsu dalam perlumbaan di Malaysia.

"Sudah tentu kami ingin menang ia bukan sesuatu yang mustahil, kalau boleh kelima-lima pasukan kami dapat mengisi kedudukan tempat pertama hingga kelima dalam perlumbaan," katanya.

Kata Tanaka, perubahan besar telah dilakukan oleh pasukannya, terutama dari segi aerodinamik dengan harapan dapat mengungguli perlumbaan dalam saingan GT Jepun musim ini.

"Ia berdasarkan keputusan dan pilihan dari seluruh ahli pasukan mengenai keputusan yang dianggap besar, ini kerana kami tidak mahu Honda ketinggalan di antara pasukan lain.

"Sebaliknya kami mahu mempertingkatkan tahap persediaan jentera dan cuba untuk memenangi perlumbaan berdasarkan faktor penumpuan yang penuh dan kelajuan maksimum," katanya.

Selain menumpukan sepenuh perhatian kepada persediaan jentera, Honda juga amat menitikberatkan tentang sistem penyejukan, baik kepada pemandu dan kereta yang bakal digunakan dalam perlumbaan hari ini.

Jelas Tanaka, pemandu perlu sentiasa berada dalam keadaan selesa untuk menyenangkan mereka menumpukan sepenuh perhatian ketika sedang berlumba, oleh itu mereka amat mementingkan sistem penyejukan yang dipasang di dalam kereta dan juga pakaian pelumba.

"Semua jentera Honda menggunakan sistem yang sama tidak ada sebarang perbezaan antara kelima-lima pasukan tersebut dan mereka akan bersaing sesama sendiri untuk membuktikan siapa yang terbaik.

"Saya berharap mereka dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam perlumbaan musim ini," kata Tanaka.

Persediaan rapi yang dilakukan Honda itu hampir membuahkan hasil dan mengejutkan ramai peminat GT Jepun apabila mereka hampir muncul juara di Sepang melalui pasukan Keihin Real Racing yang menduduki tempat kedua.

Mereka muncul naib juara dekat mencatat masa 2 jam 1 minit 717 saat selepas mempamerkan pemanduan bertenaga pada pusingan ke-39 apabila memintas satu demi satu kereta lain ketika berada di tempat kelima.

Lebih manis dua lagi pasukan Honda Autobacs Racing Aguri dan Kunimitsu mengisi kedudukan tempat ketiga dan keempat bagi membuktikan mereka adalah kuasa besar dalam perlumbaan tersebut.

Keihin merupakan pasukan pelapis bagi Honda yang mengenengahkan pelumba muda Koudai Tsukakoshi, 23 tahun bergandingan dengan pelumba berpengalaman, Toshiro Kaneishi.

Baki lima lagi pusingan akan digunakan sebaik mungkin buat Honda untuk merangkul kejuaraan musim ini terutama sekali Autobacs dan Keihin yang menduduki tangga ketiga dan kelima keseluruhan.

No comments: