EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) melancarkan model ketiga dibangunkan pusat talaannya, Nissan Sylphy di Litar Antarabangsa Sepang sempena Pusingan Keempat Siri Perlumbaan Super GT Antarabangsa Malaysia, baru-baru ini.
Nissan Sylphy adalah model ketiga yang dibangunkan selepas Latio dan Grand Livina dengan kepakaran sukan permotoran Jepun terkenal di dunia dan pakar penalaan khusus Nissan, Impul Motor Racing Development.
Sylphy adalah varian talaan yang lebih fokus kepada pemanduan agresif dan berprestasi selain meraih beberapa anugerah antarabangsa.
Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Datuk Dr Ang Bon Beng, berkata pelancaran Sylphy Impul sebagai komitmen Pasukan Impul bagi membolehkan peminat sukan permotoran melihat varian model baru ini buat pertama kali.
"Nissan Sylphy Impul dibangunkan khusus untuk pelanggan yang mahukan jentera sedan eksekutif tetapi tidak menampilkan imej sporty eksklusif.
"Pelancaran Sylphy Impul melambangkan hubungan perniagaan perkongsian Nissan yang kukuh dengan ETCM dan yakin berjaya di pasaran negara ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Hoshino Impul Co Ltd, Kazuyoshi Hoshino, berkata pihaknya menghargai usaha ETCM membantu meningkatkan jenama Impul di Asia Tenggara.
Nissan Sylphy Impul dilengkapi sentuhan Impul seperti Aerokit penuh yang memaparkan jeriji depan agresif, spoiler bamper depan dan belakang serta spoiler sayap belakang yang menjadikan model berkenaan berwajah baru.
Sylphy Impul turut dipadankan dengan sistem gantungan sports IMPUL dengan meningkatkan cengkaman dan menambah baik respon stereng dengan rizab keselamatan tinggi untuk dinamik pemanduan cemerlang.
Sistem itu merangkumi penyerap hentak dipertingkatkan dan gegelung yang merendahkan paras pemanduan hampir 25 milimeter.
Bagi menambahkan imej 'garang', peredam bunyi ekzos Impul Blast II keluli menyerlahkan keseluruhan fizikal Sylphy dan menawarkan respon enjin lebih jitu.
Sebagai pelengkap, rim aloi hitam bersaiz 17 inci Impul Aura SX-10 menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan.
Impul Aura SX-10 adalah reka bentuk terkini dalam teknologi rekaan roda dengan komitmen teguh terhadap kualiti dan keselamatan dan didatangkan dengan warna hitam bagi menambahkan kemasan Nissan Sylphy.
Ruang dalamannya mendapat sentuhan Impul apabila kerusi kulit hitam dan karpet berlogo Impul lebih selesa.
Nissan Sylphy Impul dijual pada harga RM123,900 bagi versi Comfort dan RM127,900 untuk versi mewah.
Kedua-duanya termasuk harga atas jalan warna metalik termasuk insurans, cukai jalan, yuran pendaftaran dan yuran tuntutan pemilikan dan ditawarkan bersama jaminan 3 tahun atau 100,000 km (yang mana terdahalu).
No comments:
Post a Comment