Friday, July 17, 2009

Pengunduran Mosley akan mengubah F1 - Vatanen



Max Mosley
































MADRID - Calon presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Ari Vatanen percaya, tindakan Max Mosley tidak mempertahankan jawatan presiden akan membawa perubahan kepada badan sukan bermotor dunia itu.

Malah, dia juga percaya, tokoh pemimpin yang disokong oleh Mosley untuk menggantikan tempatnya, iaitu Jean Todt, bekas bos Ferrari tidak mampu membersihkan badan yang menaungi Formula Satu (F1) itu sepenuhnya.

Setakat ini Vatanen, 57, bekas juara rali dunia merupakan satu-satunya calon rasmi untuk menggantikan Mosley, yang mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan pada pemilihan, Oktober ini.

Bagaimanapun Mosley menyokong rakan karibnya, Todt, yang Vatanen percaya tidak mampu membawa perubahan yang diperlukan untuk menjernihkan hubungan FIA dan pasukan F1.

"Mereka adalah rakan rapat dan bekerjasama ketika Jean berada dalam Ferrari dan Max di FIA tetapi keadaan itu juga boleh menjadi lain.

"Anda memerlukan bintang baru, anda perlukan seseorang yang bebas dan berkecuali, yang hanya mahu mewakili perubahan,'' kata bekas pemandu dari Finland itu kepada agensi berita antarabangsa, AP.

Vatanen, yang pernah berlumba untuk Todt ketika bersama pasukan Peugeot sekitar 1980an menyifatkan dirinya sebagai calon bebas yang boleh berurusan dengan pengeluar dan anggota persekutuan kerana memiliki rekod 10 tahun sebagai anggota Parlimen Eropah.

Kemahiran diplomasi yang dimiliki Vatanen amat diperlukan oleh F1 ketika ini untuk menyelamatkan sukan itu daripada musnah, ekoran pertelingkahan yang berlaku antara Mosley dan pasukan-pasukan utama berhubung cadangan pengurangan bajet.

Walaupun menganggap dirinya sebagai rakan rapat Mosley, namun Vatanen percaya sudah tiba masanya pemimpin berusia 69 tahun dari England itu berundur selepas 16 tahun di dalam FIA.

Sekarang, apa yang perlu dilakukan oleh Vatanen adalah meyakinkan 175 anggota persekutuan, yang memegang kuasa untuk mengundi.

"Ia umpama sebuah rumah. Anda fikir di dalam semuanya OK, tetapi apabila orang baru masuk ke dalam rumah, baru anda sedar... ia sebenarnya perlukan perubahan, anda kena lebih terbuka.

"Orang ramai memang menjangkakannya (perubahan),'' ujar Vatanen. - AP

No comments: