Kemahiran mengendalikan motosikal sewaktu melalui laluan-laluan sukar seperti mendaki, tidak rata serta berselut amat penting, terutamanya bagi memastikan jentera tidak kehilangan kuasa.
PETANG itu, trek yang terletak berhampiran pusat rekreasi di Ulu Yam, Batu Caves, Selangor sibuk berbanding hari biasa. Beberapa meter sebelum sampai ke lokasi yang hendak dituju, deretan kereta dan motosikal sudah banyak diparkir di tepi jalan sekali gus menggambarkan sikap tipikal pemandu Malaysia. Tindakan itu membuatkan perjalanan bertukar perlahan, sedangkan bilangan kenderaan yang lalu lalang di jalan lama menuju ke Genting Highlands, Pahang tersebut tidaklah sebanyak mana.
Dari jauh lagi, sudah kedengaran bunyi enjin motosikal yang nyaring. Bunyi itu mengiringi aksi terbang yang dilakukan oleh penunggang yang mengambil bahagian.
Bersungguh-sungguh memberi sokongan, para penonton yang duduk merata di sekeliling trek itu bersorak apabila motosikal-motosikal khas untuk sukan motocross itu 'terbang' tinggi di udara.
Lebih menarik lagi, ia bukan hanya disertai golongan remaja, malah mereka yang saya fikir baru masuk sekolah menengah turut menyertainya. Walaupun terpaksa menjingkit kerana tempat duduk motosikal yang tinggi, mereka masih dapat mengawal jentera itu dengan baik.
Sukan lasak sebegini bukan sahaja memerlukan keberanian. Kemahiran mengendalikan motosikal sewaktu melalui laluan-laluan sukar seperti mendaki, tidak rata serta berselut juga amat penting, terutamanya bagi memastikan jentera tidak kehilangan kuasa.
Sebenarnya, acara pada hari itu, bukanlah bersifat pertandingan. Ia cuma satu aktiviti perhimpunan beberapa buah persatuan yang terlibat dalam sukan-sukan lasak seperti motocross, ATV (All-terrain Vehicle), kereta drift dan mountain bike.
Tidak terkecuali, sebanyak tujuh buah motosikal custom turut mengambil bahagian. Mereka sebenarnya merupakan ahli Persatuan E-One Bikers dan Malaya MC.
Dianjurkan oleh Sport One Zone (SOZ) dengan kerjasama Kelab Motocross Selayang, ia nyata mendapat sambutan ramai.
Pengunjung yang datang membawa ahli keluarga masing-masing sekali gus membuatkan kawasan sempit itu kelihatan seperti satu pesta yang cukup meriah.
Pengarah Kreatif SOZ, Mustafari Mahmood menyatakan perjumpaan yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan menghimpunkan para penggiat sukan-sukan lasak tersebut.
"Ia melibatkan sebanyak 50 buah motocross, 10 ATV dan empat buah kereta drift. Sebelum ini, acara 4x4 atau motocross hanya disertai oleh kelompok mereka sahaja.
"Hari ini, semuanya berada di sini. Inilah peluang terbaik buat mereka untuk bertukar-tukar pendapat dan merasai sendiri pengalaman menunggang atau memandu jentera yang mungkin tidak pernah disentuh sebelum ini," kata Mustafari di sebalik bingit bunyi enjin motosikal custom yang baru tiba.
Dalam kemeriahan ini, persembahan aksi-aksi motocross tadi dihentikan buat seketika. Selepas diumumkan menerusi pembesar suara, sekumpulan wanita berpakaian kemeja-t berwarna merah berdiri di tengah-tengah trek, menandakan majlis perasmian akan berlangsung tidak lama lagi.
Tanpa sebarang ucapan dan sekadar flag off, acara dimulakan dengan kayuhan mountain bike oleh tiga peserta wanita.
Sikit sangat bilangannya? Menurut Hasnonizah Hamid, 31, dia datang bersama dua lagi rakannya selepas dijemput oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan SOZ, Norsarah Abd. Karim.
Menurutnya, faktor kesuntukan masa untuk mengajak rakan-rakan lain menyebabkan bilangan peserta bagi acara itu tidak ramai.
Mengulas cabaran yang dilaluinya, beliau berkata: "Memang penat sebab kena naik bukit dan laluannya sukar kerana tanahnya lembut. Tetapi seronok juga sebab pertama kali kayuh atas trek macam ini."
Rakannya, Siti Norana Mahamad Misban memberitahu, dia baru sahaja berkecimpung dalam aktiviti mountain bike sejak beberapa bulan lalu.
"Saya bukannya mahir sangat. Biasanya saya, Asmawati dan Hasnonizah berkayuh di jalan-jalan kampung sahaja. Tak sangka pula kena kayuh atas trek motocross. Walaupun penat, tetapi saya puas hati," katanya
Litar kemudiannya diambil alih oleh sekumpulan peserta yang menunggang kenderaan ATV. Biarpun mungkin ada yang beranggapan ia tidak begitu popular, ATV sebenarnya mempunyai ramai peminatnya tersendiri.
Lengkap memakai topi keledar dan sarung tangan, pemandu jentera lasak beroda empat itu pantas memulas pendikit minyak sebaik sahaja bendera mula dikibarkan.
ATV yang kebanyakannya berjenama Polaris itu nyata lincah mendaki setiap laluan berbukit yang ada. Melihat cara ia dipandu dan menyaksikan peserta melakukan aksi-aksi berani, saya mengakui bahawa mereka yang terlibat bukan baru sehari dua mengendalikan jentera ATV.
Selepas membingitkan telinga pengunjung buat beberapa ketika, para penunggang motocross
kembali menguasai trek. Dengan penglibatan lebih ramai penunggang berbanding sesi 'memanaskan badan' sebelumnya, aktiviti ini terasa jauh lebih meriah.
Paling mendapat perhatian adalah motosikal yang ditampal dengan nombor 5. Sebabnya, dialah yang menunggang paling laju dan mampu melompat pada jarak paling jauh.
Teruja dengan maklum balas yang diterima, SOZ bakal menganjurkan perjumpaan sama yang dijadual berlangsung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Bezanya, ia bukan lagi acara persembahan, sebaliknya melibatkan pertandingan.
Bagi menjadikannya lebih bermanfaat, klinik-klinik berkaitan drift, kenderaan 4x4 dan motorcross turut diadakan.
"Kami akan dapatkan pakar untuk beri tunjuk ajar dalam klinik tersebut. Bagi yang gemarkan aktiviti motocross misalnya, mereka patut datang kerana kami buka kepada peserta berusia antara lapan hingga 30 tahun.
"Klinik akan diberi secara percuma. Sesiapa yang berminat untuk mendalaminya, mereka boleh mengikuti pakaj-pakej tertentu yang bakal disediakan," ujar Mustafari.
No comments:
Post a Comment