Tuesday, July 7, 2009

D-Max ketahanan terbukti




TRAK pikap paling laris D-Max pernah membuktikan penjimatan bahan bakar terunggul dengan rekod perjalanan sejauh 1,501 kilometer (km) dari Bangkok ke Kuala Lumpur menggunakan hanya 76 liter diesel tanpa isian semula.

Ketika diperkenalkan di Thailand pada 2003, pacuan empat roda keluaran Isuzu itu melonjak sebagai kenderaan paling laris di negara pengeluarnya apabila 10,000 unit terjual pada bulan pertama.

Di negara ini, D-Max yang dipakej dengan prestasi, penjimatan dan keselesaan kini muncul antara model yang semakin dipercayai.

Selepas membuktikan 19 peratus penjimatan bahan bakar melalui cabaran Isuzu Dura-Mile pada 2007, Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. sekali lagi membuktikan kehebatan D-Max.

Kali ini wakil media diterbangkan ke Ba' Kelalan, Sarawak untuk menguji daya lasak jentera itu pada pengembaraan Isuzu-Dura Mission sejauh 708 km.

Ba' Kelalan-Lawas-Lembangan Maliau-Tawau

Sebelum pesawat 19 tempat duduk yang dinaiki kami mendarat, mata sempat memandang lingkaran jalan tanah merah berhampiran landasan kecil yang menjadi nadi pengangkutan di Ba' Kelalan.

Ketibaan penerbangan MASwings dari Miri itu disambut meriah dengan tiupan alat muzik tradisional dan kehalusan seni tari masyarakat Lun Bawang yang mendiami kawasan tanah tinggi itu.

Persinggahan dikira bernasib baik kerana kami berpeluang menikmati kerangupan epal Ba'Kelalan yang ketika itu hanya menunggu masa untuk dituai. Ditemani Pak Tagal, pemilik ladang seluas tiga hektar itu, kami dibawa ke ladang epal yang dikelilingi kawasan penanaman padi bukit yang begitu mendamaikan.

Ia adalah pengalaman paling berharga di situ sebelum meninggalkan Ba' Kelalan untuk meneruskan misi sebenar di tengah-tengah Kepulauan Borneo itu. Seperti yang diketahui, Ba' Kelalan (selain Bario) adalah antara kawasan paling terpencil di Sarawak.

Misi kali ini adalah untuk keluar dari kawasan itu melalui jalan darat yang pastinya menguji kemampuan setiap kenderaan. Dan satu-satunya kenderaan yang dapat melepasi laluan lori balak itu hanyalah pacuan empat roda. Semestinya daripada yang terbaik.

Dalam ekspedisi ini, kenderaan yang dimaksudkan adalah D-Max. Sebanyak 10 buah jentera (2.5 liter dan 3 liter) bertransmisi manual dan automatik sedia untuk diuji.

Langkah pertama ke dalam kabin bermula dengan tanggapan yang cukup memuaskan. Ruang yang luas dan cukup selesa untuk lima orang.

Perjalanan pada hari pertama menuju ke pekan Lawas yang terletak kira-kira 150 kilometer (km) dari tiga buah perkampungan di Ba' Kelalan itu.

Menggunakan jentera berkuasa 3.0 manual, gear pemanduan 4L benar-benar membuktikan kuasa. Bukan sahaja laluan becak diredah mudah malah pada gear empat D-Max masih kuat untuk mendaki.

Selepas 10 kilometer pertama kami singgah di pondok garam untuk melihat bagaimana penduduk pribumi Sarawak menghasilkan garam daripada air telaga masin.

Pembaharuan Isuzu

Berbanding model-model terdahulu, pembaharuan yang jelas pada model D-Max adalah bunyi enjin yang tidak lagi meraung kuat seperti Rodeo dan Trooper. Kuasa enjin tiga liter Super Commonrail pula seperti tidak pernah mengah. Bukan sahaja bertenaga malah kuasa tork juga berterusan sepanjang pemanduan, terutama ketika memotong dan melalui laluan sukar.

Selepas menyeberangi Sungai Semadoh, peserta berhenti rehat untuk menikmati makan tengah hari di tebing sungai dan melakukan pertukaran pemandu. Walhal bagi saya, selepas 38 km perjalanan, tidak terasa kepenatan memandu D-Max.

Pengurus Perancangan Produk dan Latihan, Wan Zaqi Zacary berkata, pengembaraan dari Ba' Kelalan ke Maliau Basin, Sabah bertujuan menguji ketahanan D-Max selepas membuktikan penjimatan minyak melalui ujian dua tahun lalu.

"Laluan kali ini juga berbeza dengan laluan dari Kuching ke Kota Kinabalu yang diadakan tahun lepas.

"Sebahagian besar daripada laluan Dura-Mission kali ini melibatkan jalan off-road yang sememangnya diakui antara paling panjang dan sukar di negara ini," jelasnya merujuk kepada bentuk muka bumi Sabah dan Sarawak.

Selain kuasa enjin, secara peribadi saya merasakan pengalaman sepanjang memandu D-Max cukup selamat, walaupun ada kalanya kami mengharungi sungai dan jambatan kayu yang sempit.

Selain laluan selut dan licin, cabaran berbahaya sepanjang ekspedisi adalah ketika berselisih dengan lori-lori balak yang memecut laju menuruni bukit. Habuk yang mengaburi pandangan kadang-kala memaksa setiap kenderaan berhenti di kaki jalan.

Ketika menghampiri 'lebuh raya' tidak berturap ke Pekan Lawas, peserta melencong ke kawasan rekreasi Merarap HotSpring untuk menikmati makan petang dan berehat di kolam air panas di situ.

Sebaik menyeberangi Pos Kawalan Imigresen Sindumin, Sabah, konvoi D-Max 'disambut meriah' dengan suluhan high beam oleh pemandu-pemandu D-Max yang 'menguasai' jalan-jalan di Sabah. Untuk makluman, Sabah dan Sarawak merupakan pasaran terbesar D-Max di negara ini.

Destinasi seterusnya adalah Lembangan Maliau atau 'Lost World of Borneo'. Kawasan hutan dara paling terpencil dan terpelihara di negeri bawah bayu itu. Menaiki helikopter yang disewa khas, media dibawa menikmati keindahan pemandangan di kawasan seluas 390 km persegi itu. Dari udara, Lembangan Maliau yang berbentuk bulat kelihatan seakan-akan sebuah kawah meteor.

Keesokkan harinya pengembaraan Dura-Mission diteruskan ke Tawau. Bahagian terakhir itu adalah laluan paling mencabar kerana peserta terpaksa memandu di jalan penuh debu sejauh lebih 100 km. Pada jarak penglihatan kurang daripada 10 meter, setiap pemandu hanya bergantung pada panduan daripada pemandu paling hadapan menggunakan walkie-talkie.

Mengagumkan. Ekspedisi lasak Dura-Mission berakhir di Tawau tanpa sebarang kerosakan pada setiap kenderaan yang digunakan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Isuzu Malaysia, Takashi Hata ketika ditemui berpuas hati dan yakin rekod jualan 5,026 unit pada tahun lalu akan terus meningkat di negara ini berdasarkan trend pembelian kenderaan yang jimat dan tahan lasak.

"Dua faktor itu adalah penarik utama kepada pemilik-pemilik kereta salun yang ingin beralih kepada kenderaan serba boleh," ujarnya.

No comments: