Thursday, July 16, 2009

Raikkonen kembali cetus tanda tanya




LONDON - Masa depan Kimi Raikkonen (gambar) dalam perlumbaan Formula Satu (F1) kembali hangat dibincangkan.

Terbaru, akhbar sukan Finland, Veikkaaja mendedahkan bahawa pemandu Ferrari itu akan meninggalkan sukan F1 pada hujung musim ini.

Malah, Veikkaaja turut mendedahkan Raikkonen mahu memberi tumpuan penuh kepada perlumbaan rali bermula tahun depan.

Sebelum ini, juara F1 edisi 2007 itu telah beraksi dalam tiga perlumbaan rali di Finland dan Itali.

"Kimi akan membuat penampilan pertama dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC) pada penghujung bulan ini," dedah akhbar tersebut.

Spekulasi mengenai masa depan Raikkonen dalam Ferrari hangat diperdebatkan sejak tahun lalu apabila pasukan dari Itali itu dilaporkan sedia mengemukakan tawaran kepada Fernando Alonso untuk menyertai mereka.

Ferrari juga dilihat tidak pernah menghalang minat Raikkonen daripada menyertai perlumbaan rali, sekali gus mengesahkan dakwaan bahawa khidmat pemandu Finland itu tidak lagi diperlukan.

"Kimi tidak pernah lagi bercakap mengenai F1, sebaliknya dia lebih berminat mengenai perlumbaan rali," jelas sumber yang rapat dengan pemandu itu.

Begitupun, Raikkonen yang masih mempunyai kontrak bersama Ferrari sehingga hujung tahun ini menafikan segala dakwaan mengenai masa depannya.

"Adakah dengan menyertai perlumbaan rali, maka saya tidak lagi mahu berada dalam sukan F1? Bagi saya, itu adalah tanggapan yang salah," jelas Raikkonen.

"Rali hanyalah hobi saya dan sukan F1 adalah masa depan saya." - Agensi

No comments: