Sudah lama mengidamkan kereta Civic EG4, Tomok sanggup mengambil risiko membeli sebuah kereta terpakai. Walaupun terpaksa berhabis RM10,000 membaik pulih jentera itu, namun dia tetap berpuas hati.
WALAUPUN menyedari membeli kereta terpakai boleh mendatangkan masalah pada kemudian hari, namun Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok awal-awal lagi sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan.
Pemuda berusia 25 tahun itu membeli sebuah kereta Honda Civic EG4 terpakai sejak lima tahun lalu pada harga RM30,000. Jentera Civic EG4 sememangnya menjadi idaman Tomok sejak remaja lagi.
Menurut Tomok, dia berdepan dengan pelbagai masalah sebelum kereta miliknya itu boleh meluncur laju di atas jalan raya.
"Bayangkan, saya kelu lidah apabila melihat kerosakan kereta ini setelah dibeli pada tahun 2004.
"Memanglah ramai kenalan yang mempertikaikan keputusan saya untuk membeli kereta yang pernah digunakan oleh orang lain. Tetapi oleh kerana saya mengidam sangat, saya nekad membelinya.
"Enjin kereta ini pernah tiba-tiba terhenti semasa saya sedang memandu di jalan raya manakala pendingin hawanya pernah mengalami kerosakan sampai berpeluh-peluh saya ketika memandu.
"Kerana itu saya terpaksa memperuntukkan sejumlah wang untuk membaiki enjin dan alat-alat lain yang rosak," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi Ini Mobilku di perkarangan tempat letak kereta pejabat Utusan baru-baru ini.
Sambung anak kelahiran Kuala Lumpur itu, diam tak diam dia sudah membelanjakan lebih RM10,000 untuk membaiki kereta yang dihasilkan pada tahun 1992 itu.
"Saya menukar enjin kereta ini kepada yang baru, menggantikan rim yang lebih sporty dan beberapa ubah suai lain termasuk menggantikan aksesori dalamannya.
"Barangkali orang lain akan cakap saya yang mencari nahas sebab beli kereta lama, tetapi sebenarnya saya sudah lama menyimpan hasrat untuk memiliki kereta jenis ini.
"Kini saya amat berbangga melihat kereta ini nampak cantik dan trendy di depan mata. Segala usaha dan penat lelah saya menyimpan wang untuk kereta Civic EG4 ini akhirnya berbayar," jelasnya sambil merenung kereta itu yang berada di depannya.
Lantaran itu, tidak hairanlah apabila Tomok yang sudah mengabdikan diri dalam dunia seni sejak sedekad lalu bersama New Boyz begitu menyayangi kereta tersebut.
Ia dijaga dan dibelai dengan baik sekali oleh tuan punya kereta yang juga merupakan juara kepada rancangan realiti popular, One In A Million musim ketiga (OIAM3).
Kereta lama Tomok, Perodua Kancil yang dibeli pada tahun 2000 sebelum menggunakan Honda Civic EG4 itu juga masih tersimpan dengan baik.
Sama seperti kebanyakan orang, Tomok juga antara individu yang benci dengan kesesakan jalan raya.
"Saya rasa saya seperti membuang masa selain sangat memenatkan apabila berdepan dengan ribuan kereta yang bersesak pada waktu puncak.
"Jadi biasanya saya tidak akan pulang terus ke rumah.
"Biasanya saya akan mencari kafe atau lepak di kedai mamak terlebih dahulu untuk membasahkan tekak.
"Selepas melihat atau mendapat maklumat jalan raya sudah mula lancar barulah saya kembali meneruskan perjalanan," katanya yang kini terkenal dengan lagu Rindu Terhenti.
No comments:
Post a Comment