Jika anda beranggapan SUV yang ada di pasaran sekarang tidak cukup besar dan mewah, tawaran terbaru daripada anak syarikat Naza, Naza Motor Trading Sdn. Bhd. ini mungkin mampu memenuhi selera anda.
Mula dipasarkan sejak 18 Jun lalu, Lexus LX570 menjanjikan pelbagai teknologi terkini termasuk ciri-ciri keselamatan dan prestasi yang terbaik.
Dilengkapi dengan enjin V8 berkapasiti 5.7 liter yang mampu menjana kuasa sebanyak 270 kW dan tork maksimum sehingga 530 Nm, jentera ini sememangnya menawarkan prestasi dan keselesaan pada tahap optimum.
Aplikasi enjin V8 ini juga sekali gus meletakkannya sebagai SUV keluaran Lexus yang paling berkuasa. Apatah lagi, enjin V8 serba baru ini telah diuji tahap ketahanannya menerusi ujian perjalanan sejauh 1.3 juta kilometer.
Biarpun hanya berpeluang memandunya dalam tempoh yang singkat dan jarak yang dekat sekitar kawasan Ara Damansara, Lexus LX570 nyata menyerlah. Penampilan fizikalnya yang besar, disempurnakan dengan pelbagai teknologi dan sistem keselamatan bersifat premium.
Buktinya, selain dilengkapi dengan 10 beg udara yang merangkumi beg udara di bahagian lutut tempat penumpang hadapan dan pemandu, Lexus LX570 turut dibekalkan dengan ciri Crawl Control.
Ia berfungsi membantu pemandu melalui permukaan sukar pada kelajuan rendah tanpa perlu menekan pedal minyak atau brek.
Buat pertama kalinya, model ini dipasang dengan sistem Wide View Front and Side Monitor sebagai satu peralatan standard. Jadi, skrin yang ada pada papan pemuka akan memaparkan imej objek dengan jelas ketika kenderaan diundur dan menghampiri simpang.
Bagi memberikan pengalaman terbaik ketika berada di dalamnya, ruang kabin Lexus LX570 dipenuhi dengan pelbagai aplikasi seperti sistem kawalan pendingin hawa empat zon dan tempat duduk belakang yang boleh dilaras secara elektrik.
Lexus LX570 yang mengaplikasikan sistem pemanduan pacuan empat roda sepenuh masa ini diimport sepenuhnya dari Australia. Naza menawarkan dua harga kepada sesiapa yang berminat.
RM758,000 seunit untuk unit terpakai dan RM828,000 bagi model serba baru. Maklumat lanjut, sila hubungi Naza di talian 03-7954 5693 atau kunjungi Naza Automall yang berlokasi di Petaling Jaya.
No comments:
Post a Comment