Thursday, July 30, 2009

Pelumba Malaysia kuasai Formula Drift Singapore

HARAPAN pengeluar tayar terkemuka dunia, Goodyear melihat bakat anak tempatan bersinar di arena antarabangsa dalam sukan permotoran tercapai apabila pemandu Pasukan Goodyear mewakili Malaysia diumumkan sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga Formula Drift Singapore ProAm Series 2009, baru-baru ini.

Selepas dinobatkan sebagai pemenang, Johan Norman dan Ariff Johanis bersama Raja Drift Malaysia, Tengku Djan yang menjadi juara keseluruhan secara spontan menjulang Jalur Gemilang meraikan kejayaan mereka.

Pada pertandingan itu, lapan tempat teratas dibolot pemandu drift Malaysia dan ini membuktikan anak tempatan memiliki bakat setanding pelumba asing.

Pertandingan di Pusat Pameran Changi itu menarik 37 pemandu profesional dan amatur mengambil bahagian.

Ariff yang memandu Nissan Sylvia S13 manakala Johan bersama jentera C33 Laurel membuatkan lokasi pertandingan berbau hangit hasil kesan tayar terbakar selain jerit pekik dan sorak penonton.

Pertandingan itu dihangatkan lagi dengan aksi berani pemandu wanita tunggal Pasukan Goodyear, Jane Cheah yang memandu Nissan 180SX.

Dia menewaskan 20 pemandu lelaki lain selain hampir melayakkan diri menyertai 16 Pemandu Terbaik, cuma ketinggalan satu mata.

Pengarah Urusan Goodyear Asean, Richard Fleming, berkata kejayaan Formula Drift Singapura tahun lalu mendorong pihaknya menganjurkan program sama tahun ini.

"Goodyear gembira dengan sambutan luar dugaan pemandu dan penonton, lebih-lebih lagi aksi mendebarkan.

"Semangat dan aksi yang kami lihat sepanjang dua tahun lalu membuktikan keputusan Goodyear menyokong sukan permotoran di rantau ini berbaloi," katanya.

Serentak itu, Richard mengumumkan tajaan Formula Drift Thailand dan Formula Drift Malaysia, masing-masing November dan Disember tahun ini.

Goodyear turut bercadang menganjurkan Siri Drift Antarabangsa Goodyear tahun depan.

Menurut Richard, Siri Drift Antarabangsa Goodyear yang bakal diadakan tahun hadapan menjadikannya syarikat tayar pertama di rantau Asia Pasifik menganjurkan sukan permotoran terbesar.

"Siri ini akan diadakan di Malaysia dan Thailand secara serentak bermula dengan pertandingan drift bulanan yang bakal menarik pemandu tempatan dan antarabangsa terbaik.

"Kemuncak pertandingan ialah pusingan akhir pada hujung tahun yang bakal menyaksikan pertarungan sengit antara pemandu drift terhandal," katanya.

Sukan Drift dinilai melalui aksi kawalan kereta pacuan roda belakang berasaskan gaya dan cara pergerakan, bukan kepantasan menghabiskan pusingan litar.

Ia bermula di Jepun sedekad lalu sebelum menarik ramai peminat di seluruh dunia.

Terdahulu, semua kenderaan pasukan Goodyear yang menyertai Formula Drift Singapore ProAm Series 2009 dilengkapi tayar Goodyear prestasi ultra tinggi seperti Eagle Revspec RS-02 dan Goodyear Eagle RS Sport yang cukup dikenali kerana cengkaman dan kawalan terbaik.

1 comment:

Mr. Din said...

Malaysia terus bangkit. Bangkit anak melayu! Good blog!