Thursday, July 30, 2009

Tramigo T22 jejak kenderaan

Pemilik boleh melihat pergerakan kenderaan mereka ala gajet yang digunakan perisik di dalam filem-filem aksi Barat.


MUDAH dibawa kerana saiznya lebih kecil dan ringkas.


KEJADIAN kecurian kenderaan di negara kita bukanlah sesuatu yang asing. Saban hari, ada sahaja kehilangan kenderaan dilaporkan, melibatkan kenderaan persendirian dan juga komersial. Dengan kadar jenayah kecurian yang agak membimbangkan, pemasangan sistem penggera sahaja tidak memadai. Infiniti hari ini mengupas penggunaan Global Positioning System (GPS) dan keberkesanannya dalam menghalang jenayah ini daripada berlaku.

Sistem keselamatan dan pengesan kenderaan GPS telah berada di pasaran negara kita sejak sekitar 10 tahun lalu. Namun hanya beberapa tahun kebelakangan ini, ia menjadi pilihan pemilik kenderaan selepas ia membuktikan kejayaan dalam menghalang kenderaan daripada dicuri dan juga mengesan sekiranya kenderaan tersebut telah dicuri.

Tramigo T22 merupakan salah satu produk keselamatan yang menggunakan teknologi GPS dan General Packet Radio Service (GPRS) bagi mengesan lokasi kenderaan. Ia adalah produk keluaran syarikat yang berpangkalan di Finland dan telah berada di pasaran Malaysia. Berbeza dengan kebanyakan produk keluaran syarikat lain, Tramigo T22 tidak memerlukan pemilik kenderaan untuk membayar yuran bulanan atau tahunan, sebaliknya ia disambung terus kepada telefon bimbit pemilik melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Unit yang dipasang pada kenderaan ini hanya memerlukan kad SIM yang biasa dipasang pada telefon bimbit untuk berkomunikasi dengan pemilik kenderaan. Pemilik boleh memilih sama ada menggunakan kaedah prabayar atau pasca bayar. Setiap SMS arahan yang dihantar kepada unit Tramigo T22 dicaj pada kadar SMS biasa, seperti teks biasa yang dihantar kepada rakan.

Apa yang menariknya, input yang dihantar boleh dipapar secara teks mahupun peta yang boleh dipapar terus pada telefon bimbit. Pemilik boleh melihat pergerakan kenderaan mereka ala gajet yang digunakan oleh perisik di dalam filem-filem aksi Barat.




Diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2003, Tramigo T22 menggunakan data mercu tanda tempatan yang digabung dengan alat penentu kedudukan GPS bagi membolehkan pemilik mengetahui kedudukan kenderaan mereka. Pemasangan T22 juga agak mudah dan unit ini boleh disorok sepenuhnya di dalam kenderaan termasuk antena.

Antara ciri utama unit yang bersaiz sebesar kotak rokok ini termasuklah pengesan pergerakan pada kenderaan yang memberitahu pemilik sekiranya kenderaan mereka diusik, pengaktif jarak jauh yang boleh mengaktifkan penggera atau menghantar SMS amaran dengan kedudukan. Selain itu, mikrofon untuk mendengar sebarang perbualan di dalam kenderaan, laporan kelajuan kenderaan berserta pemantauan zon sekiranya kenderaan dipandu melebihi lingkungan yang telah ditetapkan.

Selain itu, T22 juga menawarkan keupayaan untuk menghentikan kenderaan sebagai aksesori tambahan. Terdapat juga butang kecemasan yang membolehkan Tramigo T22 menghantar lokasi kepada sehingga 10 nombor telefon yang telah disimpan terlebih dahulu.


TEKNOLOGI GPS dan GPRS membantu pengguna dari segi keselamatan kenderaan.


Menurut Pengurus Besar Tramigo Malaysia, Markku Ranin yang ditemui Kosmo! dalam satu sesi demonstrasi baru-baru ini, produk Tramigo yang berada di pasaran Malaysia pada hari ini merupakan generasi ketiga, yang mana setiap generasi memperlihatkan perubahan pada saiz yang semakin kecil dan harga yang lebih rendah.

"Selain menjadi pilihan pemilik kenderaan darat, Tramigo T22 juga digunakan oleh pengusaha resort di beberapa pulau di Malaysia yang mempunyai bot laju. Pemilik boleh mengetahui apabila bot menghampiri jeti dan boleh mengarahkan kakitangan mereka ke jeti untuk menyambut para tetamu," ujar Ranin.

Menurutnya, Tramigo T22 tidak hanya digunakan di Semenanjung sahaja, malah digunakan di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan yang bersempadan dengan negara jiran. Terdapat juga syarikat yang memasang alat ini pada jentera berat mereka yang diletakkan di tengah hutan belantara bagi memastikan ia tidak dicuri.

No comments: